Bukan moratorium tetapi penstrukturan semula

Bukan moratorium tetapi penstrukturan semula. Pelbagai pihak mempertikaikan syarat moratorium pinjaman bank yang disifatkan tidak masuk akal apabila ia bukannya pelepasan bayaran selama enam bulan, sebaliknya hanya penstrukturan semula pinjaman.

Walaupun permohonan dibuka mulai semalam, orang ramai dilihat masih berkira-kira untuk mengambil moratorium kerana bimbang risiko terhadap jumlah faedah yang perlu mereka bayar pada masa depan.

Misalnya, untuk mereka mempunyai pinjaman kenderaan berjumlah RM50,000 dengan bayaran bulanan sebanyak RM580, mereka bakal dikenalkan faedah berjumlah RM471 sewaktu bayaran terakhir di samping tempoh pinjaman dilanjutkan kepada enam bulan lagi.

Situasi itu berbeza ketika pelaksanaan awal moratorium sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 apabila tiada sebarang faedah dikenakan namun hanya tempoh pinjaman dilanjutkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan moratorium itu sebagai penipuan apabila pelaksanaannya tidak seperti yang diharapkan.

“Jutaan peminjam mengharapkan beban mereka dikurangkan dengan pelepasan sementara bayaran pinjaman bank, sebaliknya apa yang diberikan bukannya moratorium tetapi penstrukturan semula pinjaman bank.

“Ini amat mengecewakan apabila di saat 600,000 golongan pertengahan sudah jatuh kepada kategori B40, langkah sebegini akan mengakibatkan lebih ramai rakyat Malaysia akan jatuh miskin,’’ katanya.

Syed Saddiq berkata, bank-bank yang mengaut keuntungan besar sepatutnya membantu rakyat dengan memberikan moratorium automatik dengan tanpa faedah.

Moratorium merupakan antara intipati Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang membolehkan peminjam individu dan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik, dikecualikan membayar pinjaman mereka selama enam bulan.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George pula menyifatkan mengenakan faedah terhadap moratorium sebagai tidak masuk akal dan tidak mencapai matlamat membantu rakyat.

Ujarnya lagi, tindakan itu seolah-olah menunjukkan pihak bank bertindak sebagai ahlong moden dengan mengenakan caj faedah yang akhirnya memberikan beban kepada rakyat yang kini dihimpit masalah kewangan serius.

“Moratorium sepatutnya meringankan kesusahan rakyat dan bukannya mengenakan caj faedah tidak munasabah sehingga mereka terpaksa bayar lebih pada masa depan kelak.

“Rakyat pun bingung apa terjadi dengan gelagat pemimpin kita, sekejap cakap A, sekejap cakap B. Ada yang cakap tidak mahu mohon moratorium, adalah lebih baik bayar pinjaman seperti biasa,” katanya

Bukan moratorium tetapi penstrukturan semula


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bantu Rakyat Menderita, Bukan Bantu Bank

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker