Jambatan diroboh halang operasi kebun Musang King



Jambatan diroboh halang operasi kebun Musang King

Empat jambatan simen yang dirobohkan adalah antara dua halangan yang dihadapi pasukan penguat kuasa sehingga menyebabkan operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub tidak dapat diteruskan seperti dirancang semalam.

Pasukan penguat kuasa terpaksa menghabiskan masa yang lama untuk membaiki jambatan itu yang dipercayai dirobohkan oleh pekebun durian yang meneroka tanah secara haram di kawasan HSK terbabit.

Halangan itu menyusul insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai milik pekebun yang didakwa menghadapi masalah tayar bocor digunakan untuk menghalang laluan pasukan penguat kuasa dan dikatakan helah bagi melengahkan operasi pemusnahan kebun haram terbabit.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, pasukan penguat kuasa tiba di kebun itu agak lewat kerana terpaksa membaiki jambatan berkenaan dengan menggunakan tali untuk mengikat dan mengangkat beramai-ramai dua lantai simen jambatan yang dijatuhkan ke anak sungai.




Katanya, operasi itu membabitkan kakitangan Unit Penguatkuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Timur serta anggota polis dari Balai Tranum.

“Saya difahamkan hari ini anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara Kem Bukit Galing di Kuantan akan turut serta dalam operasi pemusnahan.

“Kehadiran mereka lebih menjamin keselamatan pasukan penguat kuasa yang menjalankan tugas,” katanya dipetik Harian Metro yang turut serta dalam operasi semalam.

Sepanjang operasi semalam, Azirim berkata, 22 individu yang terdiri daripada pekerja dan pemilik kebun ditahan atas kesalahan berada di HSK Batu Talam serta didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Semalam, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata, operasi pemusnahan itu tidak melanggar perintah Mahkamah Rayuan kerana kebun haram durian Musang King seluas 101.17ha itu terletak di luar kawasan yang dimiliki Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. FMT




Jambatan diroboh halang operasi kebun Musang King


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


5 wanita buat kerja gila ditahan



Leave a Reply

Your email address will not be published.