Penaungan, kesetiaan dalam parti

 

DALAM mana-mana organisasi, krisis sering dianggap sebagai sesuatu yang biasa dan lumrah. Krisis dalam organisasi bukanlah sesuatu yang bermasalah tetapi ia sebahagian daripada proses transformasi yang membawa perubahan positif kepada organisasi tersebut.

Yang penting ialah bagaimana menguruskan krisis itu agar tidak mengancam atau membahayakan sesebuah organisasi.



Hal yang sama juga tidak terkecuali buat parti politik. Sebagai sebuah organisasi, krisis dalam parti politik juga adalah biasa dan lumrah.

Isu tentang apa yang menimbulkan krisis dan konflik tidak penting, tetapi bagaimana parti politik itu menguruskannya supaya ia tidak menjejaskan keutuhan parti adalah perkara yang perlu diperhatikan.

Inilah yang berlaku dalam konteks UMNO sekarang. Pandangan umum meramalkan bahawa pertelingkahan yang membawa kepada pendedahan pemimpin utamanya tentang apa yang berlaku di sebalik tabir akan membawa perpecahan UMNO.

Pertama, sentimen semasa memperlihatkan kekecewaan serta tahap kepercayaan umum terhadap orang politik berada di tahap yang rendah dan kritikal.



Kedua, bagaimana UMNO mahu membawa naratif kestabilan sedangkan kepimpinan parti itu berantakan. Ketiga, peluang untuk dieksploitasi pihak lawan bagi menyerang dan membina persepsi negatif untuk menjejaskan UMNO.

UMNO mungkin parti yang kuat dan kukuh kerana akar umbinya yang setia dan organik. Kesetiaan akar umbi yang organik ini wujud daripada penggunaan jawatan dan pengaruh politik pemimpinnya menerusi pembentukan jaringan sosial yang membentuk lingkaran saling berhubungan.

Kepimpinan UMNO menggunakan jawatan, kuasa dan pengaruh bukan sekadar kedudukan tetapi penyaluran penaungan dalam memperkukuhkan sokongan.

Lingkaran jaringan sosial antara politikus, birokrat dan perniagaan dalam ruang lingkup kuasa politik inilah yang memperkukuhkan kesetiaan.



Sebab itu mereka saling berhubungan, memperkukuhkan satu sama lain dan disuburkan menerusi kesetiaan yang dibalas dengan manfaat yang diperoleh melalui sokongan dan faedah daripada kuasa, jawatan dan pengaruh yang ada.

Oleh yang demikian, mana-mana individu yang berjaya memahami situasi ini akan menguasai UMNO. Jawatan parti adalah ruang untuk membina pengaruh. Jawatan itulah punca kekuatan dan kesetiaan akar umbi selagi mana manfaat daripadanya berterusan wujud.

Lingkaran ini akan mewujudkan jaringan perhubungan yang menyuburkan penaungan bagi memperluaskan pengaruh dan memperkukuhkan kuasa.

Cumanya hal ini berlaku dalam konteks yang berbeza. Dahulunya kuasa terpusat di tangan presiden parti yang lazimnya adalah Perdana Menteri.



Jawatan Perdana Menteri menjadi pusat kuasa yang memungkinkan segalanya. Kalau timbul sebarang krisis, Perdana Menteri mampu menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk meredakan keadaan. Itu dilakukan dengan penawaran manfaat berupa jawatan, lantikan ataupun peluang perniagaan.

Namun itu tidak lagi berlaku. Perdana Menteri dan Presiden Parti bukan lagi individu yang sama. Maka kuasa dan pengaruhnya juga tidak lagi terpusat. Justeru itu jawatan Perdana Menteri tidak dapat digunakan sepenuhnya dalam melancarkan perluasan lingkaran hubungan sosial apatah lagi memperkukuhkannya.

Jadi jelas jawatan politik dalam konteks ini bukan sekadar jabatan. Ia memiliki nilai tradisi budaya feudalistik dan aristokratik, elemen terpenting dalam pembentukan kesetiaan akar umbi yang unik dan organik terhadap kepimpinan UMNO.

Kekuatan pemimpin terletak kepada sejauh mana jawatan, kuasa dan pengaruh yang dimilikinya mampu diperluaskan menerusi penaungan dalam ruang lingkup rangkaian tersebut.



Kuncinya mudah. Selagi mana semua pihak mendapat faedah daripada rangkaian itu, maka jaminan terhadap kelangsungan politik tetap ada.

Sesiapa yang memiliki kelebihan melalui jawatan pasti akan memperalatkan sepenuhnya jabatan yang ada bagi memperkukuhkan kedudukan sambil memperluaskannya dengan penaungan yang menguntungkan penyokong serta diri sendiri.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392



Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Puteri Sarah saman Ira Kazar

Pelanggan kecewa terima kentang goreng berkulat, masam

UMNO bertindak betul gugurkan Tajuddin – Penganalisis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker