Bekalan terkandas: Syabu, heroin naik harga 50 peratus

Bekalan terkandas: Syabu, heroin naik harga 50 peratus.  Sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah `menggelupur’ apabila banyak bekalan ke Malaysia `terkandas’ di negara jiran ekoran terputus hubungan dengan orang tengah untuk membawa masuk barang tersebut ke pasaran tempatan.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mendapat maklumat itu susulan penemuan 1,115 ketul heroin base anggaran 446 kilogram (kg) dan 412kg syabu bernilai RM130 juta daripada pihak berkuasa Thailand yang ditinggalkan dalam hutan berhampiran pintu sempadan negara.

Masalah bekalan `terkandas’ itu menyebabkan harga dadah di negara ini melonjak sehingga 50 peratus.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya percaya dadah tersebut cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Kedah atau Pulau Pinang.

Bagaimanapun, menurut beliau, cubaan itu gagal apabila tiada orang tengah dari negara ini yang berani mengambil dadah tersebut sehingga bekalan terpaksa ditinggalkan dalam hutan sebelum ditemukan pihak berkuasa Thailand.

Katanya, kejadian itu bukan kali pertama tetapi dalam tahun ini sudah beberapa kali penemuan dadah yang ditemui ditinggalkan dalam hutan selepas gagal dipindahkan ke Malaysia.

“Khamis lalu (17 Jun), JSJN dimaklumkan penemuan 1,115 ketul heroin base anggaran 446 kilogram (kg) dan 412kg syabu yang ditinggalkan bersama bakul buah-buahan di Satun kesemuanya dianggar bernilai RM130 juta.

“Kita percaya sindiket terputus hubungan dengan orang tengah, transporter atau orang kanan yang kemungkinan telah diberkas JSJN.

“Selain itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin turut menjadi faktor sindiket di negara ini tidak dapat menggerakkan kerja jahat mereka,” kata beliau di sini semalam.

Kata Razarudin, situasi tersebut menyebabkan harga terutama syabu dan heroin melonjak sehingga 35 hingga hampir 50 peratus kerana kesukaran mendapatkan bekalan.

Jelasnya, risikan dan hasil maklumat polis mendapati harga syabu sekilogram meningkat sehingga hampir sekali ganda berbanding sebelum ini menyebabkan pengedar tempatan dan penagih dadah `gelisah’.

“Oleh kerana bekalan yang terhad, harga syabu semakin mahal. Jika dahulu kira-kira RM35,000 sekilogram namun kini boleh mencecah RM45,000 hingga RM60,000 sekilogram,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin memberitahu, sejak awal tahun ini hingga Mei lalu, JSJN merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM402.97 juta yang melibatkan 14,250kg dan 5,755 liter dadah dalam bentuk cecair manakala 11,480kg serta 25,392 liter daun ketum.

Katanya, jumlah rampasan meningkat hampir sepuluh kali ganda (lima kali ganda kot) berbanding tempoh sama bagi tahun lalu iaitu sebanyak RM163 juta.

“Contohnya pada tahun lalu, jumlah dadah heroin base dirampas sebanyak 44kg bernilai RM4 juta namun tahun ini meningkat sehingga 400kg dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM37.2 juta.

“Ini membuktikan kejayaan JSJN yang sentiasa berhempas-pulas mengekang penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini,” katanya.

Razarudin berkata, untuk tempoh sama, kira-kira 55,771 individu melibatkan pelbagai kesalahan dadah ditahan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 11,019 orang yang ditahan membabitkan individu terlibat dengan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah,” katanya.

Selain itu, Razarudin berkata, sejak 9 September lalu sehingga kini, sebanyak 63 operasi berskala besar dengan 193 tangkapan serta 11.4 tan rampasan dadah bernilai RM2.8 bilion dilakukan JSJN.

Menurutnya, untuk tempoh sama, kira-kira RM97.5 juta nilai aset sindiket turut disita.

“Jumlah rampasan dadah itu telah menyelamatkan seramai 8.5 juta manusia daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Walaupun ada sahaja usaha jahat sindiket yang cuba membawa masuk dadah ke negara ini namun JSJN terus komited membanteras aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah selain menjalinkan kerjasama erat dan bertukar maklumat dengan pihak berkuasa negara luar,” katanya. – UTUSAN

Bekalan terkandas: Syabu, heroin naik harga 50 peratus


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


 

PKR kata pandangan Hadi mengenai musuh Islam di Malaysia janggal

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker