UMNO tuntut wang sita RM116.7 juta

UMNO memfailkan saman terhadap Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh serta empat yang lain bagi menuntut wang sebanyak RM116.7 juta yang di­sita oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam beberapa serbuan di ibu negara beberapa bulan lalu.

UMNO selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut pada 21 September lalu melalui Setiausaha Kerjanya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Plaintif dalam saman ber­kenaan menamakan R. Rajago­pal, Amar Singh, Kerajaan Malaysia, Ketua Penolong Pe­ngarah (Risikan/Operasi/Bantuan Teknik) JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd. Sakri Arifin dan Ketua Polis Negara sebagai defendan pertama hingga kelima.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh dalam kenyataan akhbarnya memberitahu, saman tersebut adalah untuk menuntut, antara lain, jumlah yang telah didakwa disita sebanyak RM116.7 juta oleh PDRM yang dimiliki oleh UMNO.

Menurutnya, pengurusan kes berkenaan ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar, Rumaizah Baharom pada 15 Oktober ini.

“Kami juga pada 21 September lalu telah menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada semua defendan,” katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kesemua wang tunai yang dirampas dalam beberapa serbuan itu adalah milik UMNO dan mahu wang berkenaan dikembali­kan.

Menerusi satu catatan da­lam laman Facebook miliknya, Najib berkata, Presiden UMNO ditugaskan untuk mengendalikan semua aset parti termasuk menerima sumbangan politik serta mengagih dan membuat pembayaran untuk keperluan parti pada pilihan raya.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker