Beli belah dalam talian adalah petanda kiamat?

Beli belah dalam talian adalah petanda kiamat?
Beli belah dalam talian adalah petanda kiamat?. Benarkah banyaknya PASARAYA dan beli belah dalam talian adalah petanda kiamat?

Kiamat! Bersediakah diri untuk menghadapinya? Belum lagi, tunggulah dulu masih terlalu awal. Namun pada masa yang sama kita seronok melihat ramalan-ramalan kiamat lewat filem-filem barat seperti The Day After Tommorrow, Independence Day dan 2012. Begitulah gambaran kimat dari persfektif sutradara filem Barat.

Seronok, sebenarnya apabila bercerita tentang ramalan kiamat kerana akan keluar berbagai-bagai pendapat. Maka akan timbullah ramalan suku Mayan yang mengatakan 2012 dunia akan berakhir.

Malah ada ramalan yang dibuat lebih awal daripada itu yang masih dibaca hingga hari ini. Ramalan Michel de Nostredame atau Nostradamus yang ditulis di dalam puisinya pada 1555 terus dibaca. Dia juga meramalkan bahawa 2012 akan berakhirnya dunia ini dan digantikan dengan kehidupan yang baru.



Namun Alhamdulillah, dah masuk 2021, ramalan tersebut nyata hanya sekadar ramalan. Biarkanlah mereka dengan ramalannya. Yang jelasnya ia jauh daripada apa yang Nabi gambarkan menerusi hadis dan firman Allah di dalam al-Quran.

Hanya satu yang harus kita ingat, hanya Allah saja yang tahu bila kiamat itu akan terjadi. Hal itu dijelaskan di dalam surah Luqman: 34,

“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tetap tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada di dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakan esok (sama ada baik atau buruk) dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.”

Tidak ada siapa yang tahu bila berlakunya kiamat kecuali Allah. Dan, soal kiamat itu bukan suatu perkara yang boleh diperdagangkan serta dipersendakan, demikian pembuka bicara dari Dr. Fadlan Mohd Othman, Pensyarah Fakulti Islam UKM. Seterusnya dia menjelaskan, sesiapa yang tidak beriman dengan hari kiamat maka ia tidak beriman dengan Allah.

Membicarakan soal kiamat, tanda-tandanya terbahagi kepada dua. Pertama, tanda-tanda kiamat yang merupakan fitnah (perkara-perkara yang menggugat kepercayaan umat Islam). Kedua, tanda-tanda kiamat yang merupakan rahmat seperti kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.



Para ulama berpendapat bahawa pengutusan Nabi Muhammad adalah sebagai sebahagian tanda-tanda kiamat.

Ini adalah berdasarkan hadis Baginda yang bermaksud, “Jarak waktu aku diutuskan dan hari kiamat seperti ini,” Baginda memberikan isyarat dengan merapatkan telunjuk dengan jari tengah.”

Ini membawa maksud, apabila Nabi sudah diutuskan maka kiamat itu sudah hampir sangat. Namun yang dimaksudkan dengan hampir itu bukannya ditafsirkan dengan istilah dekat dari sudut bahasanya.

Waktu singkat petanda kiamat

Jika kita maksudkan dekat itu mungkin membawa erti sejam atau setengah jam lagi. Namun menurut istilah dekat di dalam hadis itu mungkin membawa maksud 50 tahun atau pun 100 tahun dan mungkin juga boleh membawa maksud 1000 tahun.



Kemudian Dr. Fadlan menyambung, tanda-tanda kiamat kecil memang sudah ada tapi ia dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu yang sudah berlaku, sedang dan belum berlaku.

Antara tanda kiamat adalah masa berlalu dengan cepat

Antara tanda-tanda yang telah berlaku adalah perutusan Rasulullah, kewafatan Rasulullah, penaklukan Baitulmuqaddis, taun yang menyerang pada zaman khalifah Umar yang menyebabkan ramai para sahabat yang meninggal dunia, banyaknya kekayaan semasa zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, fitnah atau ujian yang menggugat keimanan umat Islam, maksiat bermaharajalela, fitnah maksiat dan akidah. Lebih kurang 50 tanda kecil yang sudah berlaku.

Manakala tanda-tanda yang sedang berlaku adalah cepatnya masa berlalu. Ia disebutkan di dalam hadis dari Imam Ahmad dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda,

“Kiamat tidak akan terjadi sebelum waktu (terasa) saling berdekatan. Setahun seperti sebulan. Seminggu seperti sehari. Sehari seperti sejam. Sejam seperti lamanya membakar daun kurma.”



Itulah yang kita rasa saat ini bahawa masa cepat berlalu antara sehari ke sehari bagaikan tidak terasa. Ini bukan kerana pendeknya waktu, sehari tetap 24 jam cuma kita merasakan ia seolah-olah terlalu cepat berlalu.

Sesetengah ulama membuat huraian bahawa masa itu terlalu cepat kerana keberkatan sudah tidak ada. Contohnya jika kita dapat duit RM1000, jika berkat maka duit itu boleh beli macam-macam. Jika tidak berkat, RM1000 itu habis tanpa diketahui apa yang dibeli.

Jika tidak ada keberkatan maka Allah tidak tunjukkan apa yang patut dibeli dan apa yang tidak. Tidak ada petunjuk dari Allah maka ia senang untuk dihabiskan tanpa tujuan yang tertentu.

Begitu juga halnya dengan masa jika tidak ada keberkatan maka kita akan terasa ia terlalu cepat berlalu. Ada juga yang berpendapat keberkatan masa sudah tidak ada kerana jaraknya diri kita dengan Allah.



Semakin dekat kita dengan Allah makin berkat masa itu. Jika sudah semakin jauh maka keberkatan masa itu sudah tidak ada, Allah tidak memandu kita dengan masa itu.

Pasaraya tumbuh bak cendawan

Hal yang kedua pula adalah pasar yang semakin dekat. Ulama berpendapat, dulu hendak mencari pasar raya memang sukar tetapi sekarang pasar raya sudah dibina dengan banyak untuk memudahkan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Tidak akan berlaku kiamat hingga muncul banyak fitnah, pembohongan dan pasar saling berdekatan” HR Ahmad



Alasan lain pula adalah kerana teknologi yang ada menyebabkan harga pasaran lebih mudah diketahui seolah-olah tidak ada batasan. Malah harini kita mampu membeli belah di dalam talian dengan mudah dan pantas hanya di hujung jari. Hanya klik sahaja, semua yang kita inginkan sampai.

Manakala tanda kiamat kecil yang akan datang banyak tapi Dr. Fadlan sekadar mengambil beberapa contoh popular saja. Antaranya seperti yang disebut di dalam hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah bersabda,

“Tidak akan terjadi kiamat sebelum Sungai Furat menyingkapkan sebuah gunung emas yang menyebabkan peperangan di antara sesama manusia yang merebutkannya. Dari setiap 100 orang akan terbunuh 99. Dan setiap orang dari mereka berkata, “Barangkali akulah yang akan selamat.”

Ini adalah perkara yang ghaib yang masih belum kita ketahui bila akan berlakunya. Sekarang ini masih belum berlaku lagi. Di dalam hal yang belum berlaku ini adalah berpandukan kepada kepercayaan kita kepada perkara ghaib.

Berperang dengan Yahudi

Tambahnya lagi, satu contoh yang popular adalah berperang dengan Yahudi. Petunjuknya sudah semakin kelihatan. Dalilnya memang ada dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Belum akan terjadi kiamat sebelum kaum Muslimin memerangi orang-orang Yahudi, sehingga orang-orang Yahudi bersembunyi di balik-balik batu atau pohon. Lalu berkata batu atau pohon, “Hai Muslim! Hai Hamba Allah! ini orang Yahudi bersembunyi di belakangku. Ke sinilah, bunuh dia!” Kecuali pohon gharqad kerana pohon itu berasal dari Yahudi.”

Berperang dengan orang Yahudi ini belum berlaku lagi tapi ia adalah benar dan akan berlaku suatu hari ini. Yang pentingnya berbicara tentang tanda-tanda kiamat mesti berlandaskan keimanan kepada perkara ghaib seperti yang disebut di dalam surah al-Baqarah: 3

“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Percaya tidak perkara itu akan berlaku? Wajib percaya, tegas Dr. Fadlan sebagaimana kita percaya bahawa wahyu turun kepada Nabi Muhammad s.a.w. walaupun tidak nampak tetapi kita percaya bahawa wahyu turun.

Begitu jugalah kita kena percaya kepada hari kiamat. Walaupun tidak nampak lagi peristiwa itu akan berlaku kita wajib percaya.

Sebagai mana kita beriman dengan Nabi Muhamad bahawa ia adalah seorang Nabi yang menerima wahyu siang dan malam maka kita juga kena percaya bahawa hadis yang disebutkannya tentang hari kiamat itu adalah benar. Wallahu a’lam Utv

Beli belah dalam talian adalah petanda kiamat?


Layari Laman Facebook MYKMU NET


Allah benci orang yang suka bermegah dengan kuasa, jawatan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker