Dua along simbah cat, lempar bom petrol ditahan


Batu Pahat: Polis menangkap dua lelaki tempatan dipercayai pemberi pinjam wang haram atau along yang terbabit dalam kejadian simbah cat dan melempar bom petrol di Batu Pahat pada bulan ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, polis menerima sembilan laporan berkaitan dengan perbuatan khianat.

“Sebanyak lima kes simbah cat merah dan empat kes baling bom petrol di premis kediaman serta rumah kedai diterima polis yang dipercayai dilakukan oleh along.

“Bertindak atas maklumat, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan dua serbuan dan berjaya membuat tangkapan serta rampasan,” katanya dalam kenyataan dekat sini, hari ini.

Ismail berkata, serbuan pada Khamis lalu di sebuah rumah di Bakri, Muar menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan dadah dan polis merampas tin cat merah, botol cecair pelarut (thinner) dan pakaian yang dipercayai dipakai oleh suspek ketika kejadian.

“Semalam, dengan kerjasama IPD Muar, sekali lagi polis melakukan serbuan di Bakri dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai suspek utama kes berkenaan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan tiga rekod dadah serta sebuah Toyota Vios yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan dirampas,” katanya.

Katanya, hasil tangkapan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes yang berlaku di Batu Pahat dan dua kes di Kluang.

“Suspek pertama direman selama tiga hari sehingga 2 Jun 2021, manakala suspek kedua direman selama tujuh hari sehingga 5 Jun 2021 untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara sehingga 14 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya. HM

Ah long hantar ribuan lipas sebab liat bayar hutang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker