Lelongan barangan tak wujud
Semua suspek warga tempatan berusia 17 hingga 32 tahun
Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket yang memperdayakan mangsa untuk menyertai lelongan barangan berharga tidak wujud, sebelum melarikan diri selepas bayaran dibuat dengan penahanan 21 lelaki dalam serbuan di sebuah rumah banglo di Country Heights, di sini.
Kesemua suspek warga tempatan yang ditahan dalam serbuan pada 2.45 petang tadi itu, berusia lingkungan 17 hingga 32 tahun.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya melakukan intipan dan risikan selama sebulan untuk membongkar sindiket berkenaan, yang mampu mengaut keuntungan antara RM18,000 hingga RM20,000 sehari, hasil penipuan itu.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati, sindiket itu menyasarkan wanita warga China sebagai mangsa, dengan menawarkan barangan berharga seperti jed.
“Modus operandinya bertindak dengan mencari mangsa menggunakan aplikasi WeChat, sebelum memperdaya mereka untuk menyertai lelongan terbabit,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Mohd Zaid berkata, sindiket itu kemudiannya menghilangkan diri selepas pembayaran deposit bagi menyertai lelongan terbabit dibuat.
“Selain itu, sindiket ini juga dipercayai menawarkan pekerjaan kepada orang ramai, kononnya sebagai ‘telemarketing’ dengan gaji sebanyak RM3,000 melalui Facebook.
Turut dirampas, beberapa barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan seperti telefon bimbit, komputer riba serta buku, mengandungi skrip perbualan bagi kegiatan terbabit.
Beliau berkata, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut, dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan. -Bernama
Baca Artikel Menarik
- MatDon lepak dengan Ronaldinho
- Petisyen Penjarakan Neelofa Bermula
- Resepi Briyani Udang Edisi Aidilfitri Ke-3
- Gelang ‘pink’ sudah digunting! Nora Danish enggan ulangi kesilapan lalu
- Aurel Hermansyah keguguran, Atta Halilintar mohon jangan ada prasangka buruk terhadap isterinya
Layari Laman Facebook MYKMU NET