Kerajaan akan bayar RM1.3 juta kepada waris 2 mangsa MH370

Gambar Hiasan***

PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan kerajaan bersetuju membayar pampasan RM1.3 juta kepada waris dua mangsa pesawat Malaysia Airline MH370 yang hilang pada 2014.

The Vibes melaporkan bayaran itu, melalui penghakiman persetujuan, akan diberikan kepada ahli keluarga Tan Ah Meng dan Cindy Chuang.

Menurut penghakiman persetujuan, bayaran itu akan dibuat tanpa pengakuan liabiliti dan bertujuan menjadi kesimpulan terhadap tuntutan berkenaan.

Menurut dokumen mahkamah, anak Chuang dan Tan, Tan Wei Hong serta beradiknya di bawah umur ialah plaintif dalam saman terhadap Malaysia Airlines System Bhd, Malaysia Airlines Bhd, pengarah CAAM dan kerajaan Malaysia.



Ibu bapa Tan, Tan Hun Khong dan Lai Chew Lai turut dinamakan sebagai plaintif, begitu juga ibu Chuang yang merupakan warga Taiwan, Chuang Hung Chien.

Pada 2015, satu pernyataan tuntutan difailkan plaintif terhadap kecuaian defendan yang menyebabkan mereka kehilangan pasangan itu.

“Plaintif, sebagai tanggungan kepada si mati, mengalami kehilangan itu kerana mereka tidak lagi menerima manfaat kewangan dan bukan kewangan yang berhak mereka perolehi, jika si mati masih hidup.

“Plaintif turut mengaku mereka bergantung sepenuhnya kepada Cindy Chuang dan Tan Ah Meng,” menurut pernyataan tuntutan itu.



Mereka turut menuntut permohonan maaf secara terbuka dan jelas daripada defendan, serta pampasan untuk kehilangan sokongan, antara lain.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Kehilangan pesawat itu menjadi misteri terbesar dalam industri penerbangan, dengan misi mencari paling lama dan mahal dalam sejarah kerana ia belum ditemui sehingga kini.

Usaha mencari MH370 ditamatkan secara rasmi pada 2018, walaupun beberapa serpihan dilaporkan daripada pesawat itu ditemui di pantai barat Lautan Hindi.



 


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


 



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker