Gambar Proton Persona MC2, Ruang Kabin Lebih Mewah
Tidak pun lama selepas gambar Iriz MC2 versi crossover (dengar cerita Iriz Active) tersebar, rakan media Automachi berjaya memperoleh gambar sebenar Proton Persona MC2 tanpa sebarang kehadiran pelekat samaran.
Tiga keping gambar itu jelas menunjukkan beberapa perubahan besar yang dibawakan pada model facelift ini setelah sekian lama bertahan dengan spesifikasi yang cukup-cukup makan.
Antara perubahan yang dibawakan adalah unit lampu utama yang kini menggunakan mentol jenis LED dan bukannya mentol biasa, logo Proton berbentuk bulat, serta rekaan bampar hadapan baharu yang menempatkan lampu nyalaan siang LED.
Bahagian sisi yang sukar untuk diubah ini hanya menampilkan rekaan rim yang bersaiz lebih besar, iaitu 16 inci, sekurang-kurangnya menjadikan penampilan Persona ini nampak lebih gagah.
Apa yang pasti, Proton telah melakukan perubahan besar pada bahagian kabin Persona ini, seperti contoh rekaan papan pemuka yang menampilkan skrin infotainmen jenis terapung, corong pendingin hawa tengah yang diposisikan semula dan unit kawalan iklim serba baharu.
Selain daripada itu, roda stereng juga turut diberikan logo baharu, sementara tempat duduk pula kini mendapat balutan kulit yang lebih mewah.
Paling menakjubkan, Proton kini bermurah hati memberikan Persona MC2 perehat tangan di bahagian tengah! Ini sudah pasti menjadikan pemilik Persona yang terdahulu sakit hati melihatnya.
Menurut laporan daripada Funtasticko, Proton Iriz Active pula akan didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Sport dan Eco, serta Brake Intensity Manager (BIM) yang membolehkan pemandu berhenti di persimpangan lampu isyarat tanpa perlu menukar gear kepada Neutral.
Careta
Baca Artikel Menarik
Layari Laman Facebook My KMU NeT
You must be logged in to post a comment.