Ringgit dibuka tinggi pagi ini berbanding dolar AS



Sebaran :

 

RINGGIT memulakan minggu urus niaga pagi ini dengan nada yang lebih positif, disokong oleh nilai dolar AS yang teramat lemah, harga minyak mentah yang tinggi serta keyakinan terhadap pemulihan ekonomi global.

Pada jam 9.04 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.1000/1030 berbanding dolar AS daripada penutupan urus niaga Jumaat minggu lalu 4.1100/1140.

Rakan pengurusan global SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, bacaan di bawah konsensus bagi data gaji bukan ladang AS untuk bulan April telah mendorong aktiviti jualan ke atas dolar AS secara meluas pada Jumaat kerana ia mungkin telah mengurangkan kelegaan tekanan daripada Rizab Persekutuan AS untuk beralih ke retorik yang kurang berpihak kepada pertumbuhan ekonomi.



Untuk bulan April, gaji bukan ladang AS meningkat tetapi jauh lebih rendah daripada jangkaan 266,000 dan kadar pengangguran bertambah kepada 6.1 peratus di tengah-tengah meningkatnya kekurangan pekerja sedia ada.

Gambar Proton Persona MC2, Ruang Kabin Lebih Mewah

Sementara itu, beliau turut menambah pemulihan ekonomi global mungkin akan terus memberi tekanan kepada dolar AS dalam minggu mendatang.

“Malah, data memberangsangkan eksport China minggu lepas turut menjuruskan kepada peningkatan ekonomi global yang mana pengeksport Malaysia turut mendapat manfaat daripadanya,” katanya.



Pada paras pembukaan pagi ini, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Berbanding pound Britain, ia susut kepada 5.7571/7586 daripada 5.7203/7267 dan lebih rendah berbanding yen kepada 3.7705/7743 daripada 3.7662/7702 Jumaat minggu lalu.

Ringgit turut disebut harga rendah berbanding dolar Singapura pada 3.0918/0947 daripada 3.0870/0916 dan menyusut berbanding euro kepada 4.9856/9897 daripada 4.9632/9697. – Bernama



 

Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


Sebaran :


Leave a Reply