Fouziah Gous khatam al-Quran kali kedua di bulan Ramadan

Pelakon Fouziah Gous berasa terharu sehingga menitiskan air mata selepas berjaya khatam al-Quran buat kali kedua di bulan Ramadan semalam.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik pelakon tersebut dalam Instagramnya, Fouziah, 39, meluahkan rasa syukur apabila dapat khatam kitab suci tersebut buat kali kedua dalam tempoh sebulan.



“Segala puji-pujian bagiMu YaAllah. Hari Jumaat terakhir di bulan Ramadan (hari ke-25) dengan izin Allah SWT, selesai khatam untuk kali kedua di bulan Ramadan,” tulisnya dalam Instagram.

Dalam hantaran itu, pelakon dan usahawan itu turut berkongsi perasaan syukur yang tidak pernah dia alami sebelum ini apabila berjaya khatam pada pukul 3 pagi.

“Sebenarnya saya khatam pada pukul 3 pagi ketika semua sedang tidur. Teruja sangat. Terus saya beritahu suami, keluarga dan ustazah.

“Pada waktu sama saya jadi serba salah untuk berkongsinya dalam Instagram,” jelasnya.



Bagaimanapun, bekas pramugari itu tetap berkongsi kejayaannya itu dalam Instagram untuk dijadikan kenangan buat dirinya pada masa akan datang.

“Bila mengimbau semula kenangan lima hingga 10 tahun akan datang, sekurang-kurangnya boleh rujuk semula di sini (Instagram) sebagai kenang-kenangan.

“Saya doakan semoga kita semua terus istiqomah bersama al-Quran,” kata Fouziah.

Pada 29 April lalu, pelakon filem Sifu dan Tongga itu telah berkongsi keterujaan dan kegembiraan apabila berjaya khatam bacaan al-Quran ketika sambutan hari Nuzul al-Quran lalu.



Dalam perkongsian tersebut, Fouziah meluahkan rasa gembira kerana dapat khatam kitab suci tersebut pada bulan Ramadan seperti yang dihajatkannya. -K! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker