Tipu sumbangan bina surau, bekas ketua kampung didenda RM150,000


PETALING JAYA: Seorang bekas ketua kampung didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung sumbangan RM350,000 daripada kerajaan Perak bagi pembinaan surau baharu pada 2017.

Hakim S Indra Nehru turut mengarahkan tertuduh, Zulkifle Othman, 59, dipenjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda itu, lapor Bernama.

Zulkifle mengaku salah memperdayakan Rusnah Kassim ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lambak, Kampung Cabang Lima dan Kampung Lubuk Salak di daerah Muallim.

Menurut tuduhan, Rusnah diperdayakan oleh Zulkifle sehingga didorong memohon sumbangan berjumlah RM350,000 kepada Pejabat Menteri Besar untuk diluluskan pengeluaran cek dengan nilai tersebut bagi tujuan pembinaan surau baharu di Kampung Kubu, Tanjung Malim pada 15 Mac 2017.

Permohonan sumbangan tersebut diluluskan dan dimasukkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama penerima JKKK Kampung Lambak, Cabang Lima dan Lubuk Salak.

Kerja-kerja pembinaan surau baharu itu tidak dilaksanakan sehingga kini.

Sementara itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah yang turut dibacakan hari ini mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan itu, Zulkifle didakwa melakukan kesalahan tersebut sebagai pengerusi JKKK merangkap ketua Kampung Lambak, Kampung Cabang Lima dan Kampung Lubuk Salak di daerah Muallim melibatkan sumbangan berjumlah RM350,000 untuk membina surau berkenaan.

Dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah apabila dengan curang mengeluarkan sebahagian wang sumbangan dengan cara transaksi pemindahan wang berjumlah RM106,000 ke akaun milik Jati Gemilang Resources bagi kegunaan sendiri.

Selain itu, Zulkifle turut dilepas dan dibebaskan daripada dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah selepas menerima tawaran oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Hisham Nazir.

Hakim turut menetapkan pelucutan hak milik tertuduh kepada kerajaan Malaysia iaitu wang simpanan berjumlah RM203,686.45, sebuah kereta Honda Civic bernilai RM33,500 dan sebuah komputer riba. FMT

Ketua kampung ditahan minum air ketum

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker