Zeti letak jawatan pengerusi PNB pada 30 April


Zeti Akhtar Aziz berkata dia akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 30 April, ketika mesyuarat agung tahunannya dijadualkan berlangsung.

Katanya, pada tarikh itu dia akan menyelesaikan penggal tiga tahunnya dan telah menulis surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin awal tahun ini memaklumkan dia tidak merancang mahu memperbaharui tempoh perkhidmatannya.

Dia menyampaikan perkara itu melalui e-mel dalaman kepada kakitangan PNB minggu ini, yang dilihat oleh Malaysiakini.

Zeti, bekas gabenor Bank Negara dan anggota Majlis Penasihat Kerajaan era perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu, dilantik ke jawatan tersebut mulai 30 Jun 2018.

Sementara itu dalam e-melnya, Zeti berkata dia mahu PNB mencapai tiga matlamat selama tempoh perkhidmatannya iaitu untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan PNB ke pasaran antarabangsa, memperkuat kemampuannya untuk mengendalikan risiko dan kecairan, dan untuk ‘mengubah’ PNB itu sendiri sebagai sebuah organisasi.

“Saya dengan senang hati memberitahu bahawa di sebalik persekitaran yang sangat mencabar dan ekstrem yang dialami dalam tempoh ini, kemajuan ke depan telah dibuat dalam ketiga aspek ini,” katanya.

Antara lain, dia mengatakan portfolio PNB kini lebih pelbagai dan bahkan berjaya menghasilkan “hasil yang signifikan” walaupun pasaran ekuiti menurun.

Pun begitu, katanya, agenda transformasi tetap menjadi urusan yang belum selesai dan proses kepelbagaian perlu diteruskan.

Dia juga mengatakan PNB perlu prihatin terhadap kesan pelaburannya dan mengambil kira faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Walaupun pelaburan kita perlu memastikan pulangan dihasilkan, kita juga harus yakin bahawa pulangannya mampan,” katanya. Mk

Sah! Ahli keluarga Zeti mengaku terima wang 1MDB

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker