Pelajar ancam rogol minta maaf, bapa mangsa maafkan


Seorang pelajar tingkatan lima yang membuat ugutan rogol terhadap Ain Husniza Saiful Nizam,17, sudah tampil memohon maaf.

Ayah Ain, Saiful Nizam Ab Wahab berkata, kes itu kini dianggap selesai, dan dia memaafkan pelajar lelaki itu.

“Kes itu diselesaikan malam tadi. Pelajar itu meminta maaf di hadapan Ain dan berjanji akan berubah,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, ugutan itu dibuat selepas Ain mendedahkan seorang guru lelaki didakwa membuat jenaka rogol di dalam kelas.

Remaja itu kemudian membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya.

Sementara itu dalam hantaran di Facebook hari ini, Saiful Nizam bersikap ramah terhadap pelajar lelaki itu.

“Budak-budak akan buat silap dan salah tindakan. Bila dia sanggup mengaku salah dan memohon maaf sungguh-sungguh serta berjanji untuk berubah, maka kita maafkan.

“Moga jadi pengajaran yang sangat bermakna dalam hidupnya,” katanya.

Sementara itu, Saiful Nizam menyatakan sesiapa yang berpendapat bahawa ugutan rogol sebagai satu gurauan, mereka sebenarnya tidak memahami isu tersebut.

“Ini sangat sukar diterima sama sekali, dan jelas mereka yang menganggapnya sebagai satu gurauan gagal memahami isu sebenar yang sedang berlaku,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditanya jika perkataan rogol “mungkin gurauan” ada digunakan dalam laporan polis mengenai ancaman itu.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan mengenai ketakutan yang dihadapi Ain terhadap ancaman tersebut dan dia tidak beranggapan itu satu jenaka dan gurauan.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, memberitahu media mengenai laporan polis itu dan mengatakan ia “mungkin gurauan oleh rakan sedarjahnya, yang tidak dapat diterima”.

Dalam perkembangan yang sama, pengetua sekolah Ain enggan mengulas ketika dihubungi Malaysiakini sambil menyatakan perkara itu masih dalam siasatan polis. Mk

”Anak saya terima ugutan rogol” – Bapa pelajar dedah lawak rogol guru

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker