Penghijrahan tidak tukar cara Nabil bekerja


Pengacara dan pelawak, Jihan Muse gembira melihat perubahan rakan gandingannya, Nabil Ahmad sejak menyertai kumpulan tabligh, awal tahun ini.

Meskipun mengendalikan program Gegar Vaganza bersama sejak enam tahun lalu, namun Jihan berkata, hubungannya dengan Nabil tidak terlalu akrab, hanya lebih sebagai rakan sekerja.

Justeru, kata Jihan, mereka tidak pernah berbincang secara peribadi mengenai hal itu, tetapi dia hanya mengetahui mengenai penghijrahan sahabatnya itu menerusi media sosial dan media massa.

Bagaimanapun, katanya, dia berkesempatan bertemu pelawak kelahiran Mambau, Seremban, Negeri Sembilan itu ketika rakaman program Gegar Vaganza musim raya.



Katanya, cara kerja Nabil masih sama seperti dahulu, tetapi ada ketikanya meminta kebenaran secara baik daripada pihak produksi untuk menukar skrip yang dirasakan tidak bersesuaian.

“Apa yang saya nampak, dari sudut kerja Nabil masih mengekalkan cara kerja yang sama. Cuma, dia adalah minta kebenaran produksi untuk tukar skrip. Sebagai pengacara, ada kala kami juga berada dalam dilema.

“Ada masa kami rasa berat nak buat perkara yang disuruh produksi. Sebagai manusia, semua orang ingin menjadi lebih baik, tetapi disebabkan komitmen kerja, kami terpaksa menjadi seperti apa yang dimahukan produksi,” katanya kepada BH Online.

Dalam pertemuan singkat itu, kata Jihan, Nabil sempat berkongsi mengenai perjalanan penghijrahannya yang terjadi selepas menyertai jemaah tabligh di Batang Kali, Selangor.



“Nabil sempat bercerita pengalaman ketika kami sedang bekerja. Dia beritahu sudah bergelar haji dan beberapa kali menunaikan umrah, tetapi hidayah diperoleh di Batang Kali sahaja.

“Dia juga berkongsi yang sebenarnya tidak merancang langsung hendak ke sana, tetapi tiba-tiba tergerak hati hendak pergi. Tanpa fikir panjang terus sahaja pergi,” kongsinya.

Ditanya adakah perubahan Nabil mempengaruhi corak pengacaraan untuk program Gegar Vaganza musim terbaharu, Jihan berkata, dia sukar menjangkakan kerana masih belum dilaksanakan.

“Bagi saya, tiada masalah untuk menukar corak penyampaian sekiranya program Gegar Vaganza masih diteruskan. Selain produksi melahirkan idea bagus, tonggak utama program ini datangnya daripada hos juga.



“Jika Astro tidak kisah, corak program boleh ditukar, namun masih mengekalkan konsep pertandingan menyanyi untuk legenda yang mungkin boleh disampaikan dengan cara lebih baik dan positif. Seperti mana cara Nabil mengendalikan program MeleTOP sekarang,” kata Jihan yang ditemui pada program membeli-belah bersama 30 anak-anak yatim dari Rumah Bakti Al Kausar, Bangi di Jakel Shah Alam, baru-baru ini. BH

Didakwa hijrah ikut-ikutan, Nabil tak gusar



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker