Harga barang mentah naik, kerajaan Muhyiddin gagal urus ekonomi negara?

Wajib buat sesuatu, jangan pula keluar kenyataan ‘barang naik ekonomi meningkat’

Kenaikan harga barang mentah yang dikesan berlaku sejak kebelakangan ini seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak bijak mengurus ekonomi negara.

Demikian antara komen netizen selepas kerajan mengakui harga bahan mentah dan segar di pasaran meningkat akibat inflasi dan faktor lain, termasuk kos pengangkutan dan makanan ternakan.

Memikirkan golongan berpendapatan rendah di negara ini, rata-rata pengguna di media sosial meluahkan rasa bimbang rakyat yang sedia tertekan bertambah tertekan dengan kenaikan harga barang mentah.

“Lihat pada harga barangan basah di pasar amat membimbangkan. Bawa RM50 tak penuh satu bakul. Bagaimana dengan rakyat yang dihimpit kesusahan akibat pendemik ini. Sulit bagi mereka untuk bertahan.

“Kerajaan PN terutama KPDNHEP wajib membuat sesuatu. Jangan nanti keluarkan kenyataan bahawa ‘barang naik ekonomi meningkat.’ Klise,” kata Zek Master.

Pengguna media sosial dikenali sebagai Rofiah Fi pula merayu kerajaan memberi insentif kepada rakyat bagi membantu mereka menampung perbelanjaan.

“Banyak barangan lain juga meningkat tinggi. Bayangkan jika sebulan 20 barang yang dibeli naik harga. Berapa kos terpaksa ditanggung pengguna. Sedangkan kebanyakan golongan bawahan ada yang hilang pendapatan. Dan berapa ramai pula yang gajinya dipotong beberapa peratus.

“Rakyat tiada wang lebih untuk menampung kehidupan yang semakin mencabar. Harap kerajaan beri insentif kepada rakyat walau sekadar diskaun dalam bil TNB,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa kerajaan segera menyemak semula inisiatif Program Food Bank Malaysia yang bermatlamat meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan isi rumah B40 dan mereka yang memerlukan.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, strategi terbaru dan insentif berpatutan perlu digunakan untuk mendapatkan komitmen daripada lebih banyak penyumbang termasuk pengilang, syarikat korporat dan pasaraya.

Katanya lagi, rakyat Malaysia terus melalui saat yang sukar demi kelangsungan hidup bagaimanapun kerajaan sehingga saat ini gagal memberikan solusi tuntas dan segera.

“Kerajaan perlu berhenti dengan tindakan reaktif mereka. Tadbir urus yang proaktif sangat diperlukan untuk mengawal harga barangan asas supaya rakyat tidak terus terbeban dalam saat getir seperti sekarang.

“Dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar untuk memastikan kecukupan bekalan tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker