UMNO runding mengenai kerajaan lepas PRU-15


UMNO hanya akan berbincang untuk membentuk kerajaan bersama parti dan gabungan lain selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata buat masa ini, keputusan UMNO adalah tidak berunding dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk mendepani PRU.

“Selepas PRU kita lihat keadaannya macam mana. Kita terbuka. Sesiapa juga yang masa itu berminat untuk bekerjasama, kalau bawa kebaikan kepada UMNO dan rakyat untuk tubuhkan kerajaan yang baik, bolehlah (bekerjasama).

“Selepas PRU baru kita bincang dengan mana-mana pihak untuk tubuhkan kerajaan. UMNO tidak tamak. Dulu masa tubuh BN (Barisan Nasional) pun, kita kongsi dengan MCA, MIC dan parti pribumi Sabah dan Sarawak,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja meninjau perkembangan terkini projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bermula di Centralised Labour Quarters (CSL) di sini, hari ini.

Tajuddin berkata, biarpun tiada rundingan dengan PKR, BERSATU dan DAP, UMNO masih berunding dengan PAS dalam soal agihan kerusi PRU.

“Kita sudah buat keputusan untuk bersama dengan PAS. Dalam tempoh ini, kita sedang menunggu kalau dapat keputusan dengan PAS, maka kita akan bagi-bagi kerusi.

“PAS pun tiada (minta) tinggi banyak mana pun. Mereka ada 18 kerusi, kalau mahu bertanding 30 kerusi tandinglah. Tiada masalah pun.



“Ada 222 kerusi, jadi UMNO kalau dengan PAS, kita boleh bagi berapa? 20..30… boleh. UMNO akan bertanding 96 kerusi. Kalau PAS kata dia mahu kahwin lagi satu, mahu ceraikan kita, tidak mengapa, kita tanding sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau sedia melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berikutan ketetapan UMNO pada perhimpunan agungnya semalam, Tajuddin berkata beliau akan mengikut ketetapan parti.

Katanya, pada masa ini, pendirian UMNO adalah bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

“Kita tidak tahu bila mahu dibubar. Boleh jadi cepat, boleh jadi lambat. Berdasarkan keputusan itu, kita tetap dengan kerajaan.



“Tapi kalau sampai Ogos, sampai tahun depan, tahun depanlah,” katanya. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker