Wanita UMNO akur keputusan PAU, MT

Sebaran :


Pergerakan Wanita UMNO Malaysia akur dengan segala keputusan yang dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, sebagai ahli parti, pihaknya akur dengan keputusan untuk tidak bersama DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU-15 akan datang.

Menurutnya, Wanita UMNO percaya apa pun keputusan, ia adalah untuk memastikan kepentingan dan kedudukan parti kerana UMNO adalah sebuah pertubuhan yang bukan sahaja memperjuangkan orang Melayu, Islam dan raja-raja tetapi menyatukan semua bangsa.

”Wanita UMNO sekali lagi ingin menegaskan akan terus memberi kepercayaan kepada Presiden parti dan Ahli MT dalam meneliti, mengkaji dan membuat keputusan politik yang terbaik demi memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat dan pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noraini lagi, sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO akan sentiasa memberikan seluruh komitmen terhadap perjuangan tanpa belah bahagi.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan mengadakan kerjasama dengan PPBM, Anwar Ibrahim, mahu pun DAP dalam PRU-15.

Ahmad Zahid berkata, tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi dan Barisan Nasional telah memutuskan akan menghadapi PRU-15 secara bersendirian. MG


Sebaran :

Leave a Reply