Makmal proses pil ekstasi diserbu, polis rampas dadah bernilai RM11.8 juta


SEBERANG PERAI – Taktik satu sindiket dadah menjadikan kediaman elit sebagai makmal memproses pil ekstasi berjaya dilumpuhkan selepas polis menahan tiga lelaki dalam beberapa serbuan sekitar Bukit Mertajam dan Sungai Petani, Kedah pada Isnin lalu.

Tangkapan ke atas tiga suspek berusia 30 hingga 37 tahun itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM11.8 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, tangkapan pertama membabitkan dalang utama sindiket berusia 33 tahun dan rakannya ketika mereka sedang memandu kereta di kawasan perumahan Taman Pauh Jaya kira-kira jam 9.30 pagi.

Katanya, pemandu kereta itu bertindak merempuh kereta polis sebelum memecutkan kenderaa sebaik menyedari mereka diekori namun berjaya dipintas polis di Taman Sutera, Perai di sini.

“Berpandukan maklumat daripada dua suspek itu, pihak polis menyerbu sebuah kediaman elit di Taman Pauh Jaya yang dijadikan makmal proses pil ekstasi.

“Hasil pemeriksaan pihak polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM11.8 juta, serbuk kafein, cecair kimia, pelbagai peralatan serta mesin menghasilkan pil ekstasi.

“Susulan itu, kita menahan seorang lagi suspek berusia 30 tahun yang juga adik kepada dalang utama sindiket di sebuah di kediaman di Sungai Petani, Kedah pada hari yang sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.

Dalam serbuan itu juga, pihak polis merampas enam buah kenderaan antaranya Range Rover Evoque, Mini Cooper, Honda Odyssey, Mercedes Benz serta sebuah motosikal kuasa tinggi jenis Kawasaki Z800.

Mengulas lanjut, Sahabudin memberitahu sindiket itu aktif memproses dan mengedar pil ekstasi sejak enam bulan lalu.

Jelas beliau, suspek juga mengaku menyewa kediaman elit itu dengan bayaran berjumlah RM2,800 sebulan untuk dijadikan makmal proses ekstasi.

“Hasil soal siasat mendapati suspek utama dan rakannya merupakan ‘pakar kimia’ dalam menghasilkan pil ekstasi untuk pasaran tempatan itu.

“Kedua-dua suspek itu positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek ketiga tidak mempunyai rekod lampau namun aset milik sindiket didaftarkan atas namanya,” ujar Sahabudin.

Tambah beliau, kesemua suspek direman sehingga 29 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. MG

Sanggup terjun tingkap, tinggal dua guni pil kuda RM3.2 juta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker