Aduhai Hannah Delisha, kantoi juga

Sebaran :


Oleh Tengku Suzana Raja Mamat

Bernikahlah Risteena Munim dan Isa Khan dengan tenang bersaksikan keluarga dan teman-teman rapat.

Meskipun media tidak diundang memandangkan ada prosedur operasi standard (SOP) yang harus dijaga, namun sejak awal bulan lagi, bahkan hampir setahun lalu, khalayak tahu pasangan dua sejoli itu sedang memadu kasih.

Tahniah untuk Risteena dan Isa kerana kebal dengan segala skeptikal segelintir pihak yang mungkin bergumam mual dek tebaran romantika jula-juli bintang tujuh dalam dunia Instagram mereka.



Situasi Risteena dan Isa, pelakon yang barangkali tidak begitu diingati dengan judul naskhah lakonan itu jauh panggang dari api berbanding seorang pelakon dari tanah Temasik, Hannah Delisha.

Si jelitawan berwajah manis yang bertambah sopan dan penuh kesantunan itu tiada selintas bisik gosip pun, taufan sensasi jauh sekali tiba-tiba menyita khalayak dengan pernikahan mengejut bersama lelaki pilihan, juga pelakon senegaranya, Imam Shah pada 18 Februari lalu.

Belum genap sebulan mengumumkan perkahwinan, Hannah kembali menggelegak kantoi rupa-rupanya sudah bernikah setahun lalu.

Ternyata, andaian media tentang keputusan Hannah saat kembali kepada fitrah, menutup aurat sekitar suku akhir tahun lalu berawal dengan niat hendak mendirikan rumah tangga ada logiknya.



Ketika itu, sebagaimana lazimnya dunia artis yang penuh dolak-dalik, Hannah juga menafikan pertanyaan media walhal ketika itu dia sudah berkahwin.

Tipah Tertipu lagi.

Begitulah yang sering berlaku. Penulis teringatkan kisah pelakon Ummi Nazeera dan Yuna Zarai yang seboleh-bolehnya mahu pergi jauh agar majlis pernah pernikahan mereka tidak dihidu media.

Sebenarnya, plot pernikahan Hannah bukan lagi berita yang sengaja diselongkar dan ingin diperbesar-besarkan dengan tujuan untuk mengaibkan sesiapa.



Kisah dalam kain Hannah dan keluarganya tidak akan terbongkar jika tidak diawali dengan luahan-luahan kekecewaan ibunya menerusi puisi Hikayat Antah Berantah yang disiarkan dalam Instagramnya.

Terpanggil mempertahankan menantu kesayangan, si ibu mentua pula tampil dengan doa memohon berkat kasih sayang berserta gambar-gambar sekitar majlis pernikahan bersama keluarga dan tetamu yang hadir.

Jika perkongsian si ibu kandung membuka kisah Hannah berkahwin tanpa restu, tanpa sedar atau mungkin terlupa, perkongsian si ibu mentua pula membuka rahsia tarikh pernikahan yang kemas cuba disembunyikan sebelum ini.

Eleena Sui menjadi alibi yang sangat kuat dalam kes kantoinya Hannah Delisha dan Instagram tetap menjadi mahkamah maya buat seluruh netizen mengutarakan penghujahan.

Susah payah netizen membuat skeptikal, berat lagi bahu Hannah menanggung lara yang tidak kita ketahui hujung pangkalnya. ‘

Moralnya, setiap perkara sama ada berniat baik atau tidak, penerimaan setiap orang tidak sama.

Sama seperti setiap hantaran dalam Instagram juga, untung sabut kita dipuji, salah percaturan, maka bertubi-tubilah keji menikam diri. K Online


Sebaran :

Leave a Reply