Polis rampas dadah bernilai RM1.37 juta, suami isteri antara ditahan
Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan satu sindiket mengedar dadah selepas menahan tiga individu warga tempatan termasuk pasangan suami isteri. Mereka turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.37 juta dalam tiga serbuan di sekitar Kuala Lumpur, minggu lalu.
Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Zainuddin Ahmad berkata kesemua mereka yang berumur antara 25 hingga 28 tahun, ditahan dalam serbuan antara pukul 2 petang hingga 5.15 petang pada 26 Februari.
Dia berkata penangkapan tiga dalang itu yang adalah dari kumpulan serpihan sindiket dadah yang berjaya ditumpaskan oleh polis Pulau Pinang pada November 2020.
“Hasil risikan kami mendapati sindiket ini aktif sejak lapan bulan lalu dan modus operandi mereka adalah berperanan sebagai orang tengah dan mendapatkan bekalan secara pukal dari orang atasan sindiket itu dari negara jiran di utara Semenanjung.
“Mereka kemudian menyimpan bekalan yang diterima di dua apartmen yang disewa bagi tujuan operasi itu sebelum membungkus dalam paket kecil untuk penjualan kepada pelanggan tetap di sekitar Lembah Klang.
“Polis juga khususnya JSJN akan terus berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang media hari ini di Ibu Pejabat Daerah Brickfields, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Katanya, susulan serbuan di dua buah apartmen di sekitar Kuala Lumpur, polis merampas syabu seberat 38 kilogram (kg), serta dadah jenis heroin 457 gram.
Turut dirampas adalah tiga buah kereta bernilai RM68,000, barang kemas bernilai RM20,150 dan wang tunai RM23,684.
“Tiga suspek yang ditangkap didapati urin adalah negatif dadah. Sementara, dua suspek didapati mempunyai rekod jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek yang ditahan direman selama tujuh hari berakhir 5 Mac 2021,” katanya. Mk
Pemuda PPBM gantung 2 pemimpin termasuk Adun ditahan kes dadah