Benarkan kami beli dan beri vaksin, pinta hospital swasta kepada kerajaan


Persatuan yang mewakili hospital-hospital swasta di Malaysia menggesa kerajaan mengizinkan ahlinya membeli sendiri bekalan vaksin Covid-19 dan memberikannya kepada masyarakat.

Ini berikutan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin dilaporkan CodeBlue sebagai berkata, tidak ada peruntukan segera bagi hospital swasta untuk membeli dan menjalankan program vaksinasi mereka sendiri.

“Tiada juga bekalan untuk hospital swasta ketika ini. Tetapi, kami akan mempertimbangkannya nanti,” kata Khairy.

Dalam kenyataan hari ini, presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata, hospital swasta boleh mendapatkan vaksin daripada pelbagai sumber setelah mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menurut beliau, program kerajaan, yang dijangka berakhir pada Februari 2022, “mengambil masa yang lama dan tidak boleh diterima”.

“Hospital swasta boleh digerakkan dengan cepat untuk melengkapkan usaha kerajaan memastikan majoriti populasi divaksinasi dalam waktu sesingkat mungkin untuk membantu mencapai imuniti kelompok.

“Ini termasuk memanfaatkan sistem jejak-dan-kesan yang disokong kerajaan untuk membangunkan pangkalan data pemberian vaksin,” kata beliau.

Kuljit berkata, bagi setiap pesakit yang memilih untuk diberi vaksin di hospital swasta, kurang seorang pesakit yang perlu ditanggung kerajaan.

Kata beliau, ekspatriat dan mereka dalam komuniti diplomatik mungkin perlu melakukan perjalanan untuk bekerja atau menjalankan perniagaan dalam masa terdekat.

“Tetapi mereka hanya akan layak menerima vaksin dalam fasa ketiga program vaksinasi awam semasa, yang mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan mudah. Pilihan vaksinasi sektor swasta akan membantu dalam kes-kes sebegini,” kata beliau.

Beliau berkata, akan ada juga syarikat yang ingin membiayai vaksinasi pekerja mereka sendiri untuk lebih memastikan mereka menerima dua dos lengkap, dan penglibatan sektor swasta dapat membantu dalam hal ini.

“Kami berharap permintaan hospital swasta kepada kerajaan tidak diabaikan kerana tujuan kami bukan untuk mendapatkan keuntungan tetapi untuk membantu sebagai rakan kongsi dengan kerajaan. Terdapat permintaan besar daripada orang ramai untuk segera menyelesaikan hal ini.

“Ketersediaan vaksin pelbagai jenis di hospital swasta akan mengekang usaha sesetengah pihak yang cuba ‘memotong barisan’ dalam program imunisasi kebangsaan yang akan menghalang golongan yang lebih memerlukan daripada mendapatkan vaksin,” kata beliau. FMT

Hospital swasta mula terima pesakit Covid-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker