Hospital swasta mula terima pesakit Covid-19

Alor Setar: Beberapa pusat perubatan swasta di negeri ini, mula menerima dan sedia merawat individu positif Covid-19 dalam usaha menampung peningkatan jumlah pesakit pandemik itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, setakat ini jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sudah mencapai kira-kira 80 peratus.

Jelasnya, dua lagi hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Nerang dan Hospital Kulim turut dibuka bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19.

“Bagaimanapun, ada juga pesakit yang positif menjalani kuarantin kendiri di rumah, namun ia bergantung pada keadaan rumah itu sama ada boleh tinggal berasingan dan berkurung sepanjang tempoh kuarantin atau sebaliknya.

“Kalau rumah itu sempit dan bilangan jumlah anggota keluarga yang ramai, pesakit itu tidak boleh berada di rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan van jenazah kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon dan timbalannya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syu’faat Kamaron.

Dr Hayati berkata, secara keseluruhan Jabatan Kesihatan Kedah bersedia menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan pesakit Covid-19 seperti dijangkakan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang mengunjurkan pesakit melebihi 5,000 orang pada Mei depan.

“Dahulu jangkitan Covid-19 diterima dari luar iaitu pekerja asing dan bukan warga negara, namun sekarang dalam kalangan masyarakat pun ada dan kita perlu berhati-hati.

“Keadaan ini berpunca akibat musim cuti Disember lalu, apabila ramai orang keluar bercuti, sekali gus menyebabkan berlaku kontak rapat dan peningkatan jumlah kes,” katanya.-HM

Hospital swasta persiap katil untuk kes Covid-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker