Hospital swasta persiap katil untuk kes Covid-19

PETALING JAYA: Hospital swasta kini membuat persiapan sekiranya mereka diarah menerima pesakit Covid-19 berikutan peningkatan besar kes sejak kebelakangan ini yang semakin membebankan hospital awam.

Surat kepada ahli Persatuan Hospital Swasta Malaysia yang dilihat oleh FMT menyebut, persatuan kini mengira stok katil di wad am dan wad rawatan rapi yang boleh digunakan untuk rawatan pesakit Covid-19.

Minimum 10% kapasiti katil dijangka disediakan untuk kes Covid-19, kata surat itu.

Respons kepada survey itu dijangka diperolehi hari ini.

Menurut surat itu lagi, terdapat kemungkinan hospital swasta perlu mengurus sendiri kes Covid-19, dan hospital awam tidak lagi akan menerima rujukan kes daripada hospital swasta.

Pada masa ini, semua kes Covid-19 dirawat di hospital kerajaan yang ditetapkan.

Surat itu berkata, keputusan berhubung perubahan yang mungkin dibuat akan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Bekas presiden Persatuan Perubatan Malaysia John Chew berkata, kes Covid-19 mesti diasingkan dan ditempatkan di sebuah hospital sebagai prinsip asasi kawalan jangkitan.

Tidak harus berlaku percampuran antara pesakit Covid-19 dengan pesakit lain bagi menghindari kontaminasi silang, yang menurutnya “mungkin berlaku”.

Surat persatuan itu muncul berikutan amaran semalam bahawa hospital swasta boleh diarahkan menerima pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2 di bawah kuasa darurat kerajaan.

Hospital swasta yang enggan berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta atau dijatuhi hukuman penjara, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau bagaimanapun berkata, opsyen itu belum dipertimbangkan sehingga rundingan dengan hospital swasta selesai.

Presiden persatuan itu, Dr Kuljit Singh berkata, hospital swasta tidak pernah menolak pesakit Covid-19.

“Tidak perlu bimbang kerana kami akan memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan,” katanya kepada FMT.

Kuljit berkata, beliau bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa lepas dan memberi jaminan bahawa hospital swasta akan bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu merawat pesakit Covid-19.

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker