Potong giliran suntik vaksin, Jabatan Kesihatan Kelantan nafi

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan menafikan dakwaan berlaku tindakan potong giliran oleh pegawai tinggi kerajaan negeri dalam senarai penerima vaksin COVID-19 sehingga mengetepikan petugas barisan hadapan.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, menegaskan dakwaan suntikan vaksin covid-19 yang tular dalam media sosial itu adalah tidak benar sama sekali, malah tiada timbul masalah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga tiada memberi keutamaan kepada pegawai atasan daripada kerajaan negeri untuk menerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.



“Kita sudah mengenal pasti pasukan barisan hadapan dalam kalangan petugas perubatan dan mereka akan diberi keutamaan untuk suntikan vaksin itu.

“Bagaimanapun, bukan semua petugas perubatan akan menerima suntikan pada hari pertama vaksinasi, Selasa ini, sebaliknya ia dilaksanakan secara berperingkat hingga April depan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas dakwaan berlaku potong giliran untuk suntikan vaksin di Kelantan membabitkan pegawai kerajaan negeri berpangkat tinggi.

Media sebelum ini melaporkan seramai 140 individu daripada pelbagai agensi di Kelantan, termasuk mufti, bakal menerima suntikan vaksin pada Selasa ini.



Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, akan mengetuai senarai penerima suntikan vaksin itu, diikuti Dr Zaini dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker