Meriam air, gas pemedih mata suraikan protes di luar kediaman PM Thailand

Penyokong prodemokrasi mengalihkan kon halangan untuk mara ke kediaman Perdama Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha di Bangkok, - Foto AFP
Penyokong prodemokrasi mengalihkan kon halangan untuk mara ke kediaman Perdama Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha di Bangkok, – Foto AFP

BANGKOK: Polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi di sini hari ini, di luar berek tentera yang juga lokasi kediaman Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha.

Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan berarak dari persimpangan Monumen Demokrasi di Bangkok menuju ke berek tentera berkenaan.

Antara penunjuk perasaan yang mengikuti demonstrasi itu termasuk warga Myanmar yang menentang rampasan kuasa di negara mereka apabila pihak tentera menggulingkan pemimpin kerajaan, Aung San Suu Kyi, 1 Februari lalu.

Ada dalam kalangan penunjuk perasaan Thailand berarak dengan memakai topi pelindung dan membawa bendera merah.

Mereka kemudian cuba menceroboh kawat berduri menyebabkan campur tangan polis yang mengawal pintu masuk berek berkenaan.

“Mereka bersedia dengan semua peralatan termasuk baton, air dengan bahan kimia dan peluru getah,” kata salah seorang penunjuk perasaan kepada media Thailand.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, gerakan protes diterajui generasi muda yang menggesa peletakan jawatan Prayut agak suram berikutan gelombang kedua jangkitan COVID-19 di negara itu.

Bagaimanapun, penahanan empat pemimpin utama protes berkenaan atas tuduhan menghina institusi diraja membangkitkan semula semangat penunjuk perasaan untuk mendesak kerajaan berundur.

Empat pemimpin itu antara 58 penunjuk perasaan berdepan tuduhan menghina institusi diraja dan jika bersabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 15 tahun.

Antara tuntutan penunjuk perasaan ini termasuk menghapuskan undang-undang melindungi monarki Thailand. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker