Buaya 3 meter masuk kampung
Miri: Seekor buaya sepanjang tiga meter yang menceroboh masuk ke kawasan Kampung Sulap Lada, Bekenu, di sini, ditangkap penduduk kampung pada 8 malam tadi.
Jurucakap Pasukan Alpha Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.05 malam sebelum mengarahkan tujuh anggotanya menjalankan khidmat khas menangkap reptilia ganas itu.
“Kami menghubungi pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi membantu mengikat serta mengangkat sang bedal itu.
“Selepas berjaya diikat dalam masa setengah jam, buaya itu kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana kehadiran buaya itu tidak mendatangkan kecederaan atau insiden tidak diingini buat penduduk kampung.
Difahamkan buaya terbabit kerap muncul di Sungai Sulap Lada dan ia dipercayai naik ke darat kerana ingin mencari makanan menyebabkannya menceroboh masuk ke kawasan kampung-HM
You must be logged in to post a comment.