Firma swasta usaha sama kerajaan Kedah bangunkan lapangan terbang Kulim


Sebuah firma swasta, ECK Group of Companies (ECK) akan menyertai usaha sama dengan kerajaan negeri Kedah bagi membangunkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, ECK berkata syarikat itu akan terlibat secara langsung sebagai rakan strategik projek KXP bermula daripada urusan pembinaan sehingga pentauliahan.

“Ini termasuk pembinaan KXP serta membawa masuk operator lapangan terbang dan operator kargo antarabangsa untuk menjalankan operasi di KXP setelah ia siap kelak,” katanya di Alor Setar hari ini.

ECK berkata selain projek lapangan terbang bertaraf antarabangsa dengan dua landasan itu, usahasama itu akan turut melibatkan pembangunan bandar raya udara, Kedah Aerotropolis dan Airport City di Mukim Sidam Kiri di daerah Kuala Muda.



Pelabur utama pelbagai industri antaranya sektor kewangan, industri perkilangan serta perusahaan berat dan sederhana, khususnya teknologi udara dan semikonduktor akan mengaktifkan KXP sekaligus menarik perhatian dunia terhadap kewujudan lapangan terbang itu.

“Kedah Aerotropolis menjadi pelengkap dengan pembangunan bandar raya moden dengan komponen perumahan dan perniagaan, bandar perubatan, pengurusan akademi, teknologi informasi dan komunikasi serta hab pengangkutan serba lengkap.

“Daripada segi pembangunan ekonomi, penduduk tempatan akan menikmati pelbagai tawaran daripada pembangunan ini yang akan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Bagi merealisasikan projek itu, sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) akan ditubuhkan dengan fungsi utama mendorong pembangunan dan kewangan bandar raya udara di kawasan seluas lebih 4,046 hektar (10,000 ekar) itu.



Katanya syarikat SPV itu akan dipengerusikan Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, manakala anggota lembaga pengarah syarikat terdiri daripada wakil kerajaan negeri dan pihak swasta.

“Perubahan paradigma ekonomi ini diyakini akan meletakkan Kedah di aras lebih tinggi untuk menjadi salah satu negeri maju pada masa akan datang,” katanya. Bernama

Betulkah Lapangan Antarabangsa Kulim akan diibiayai swasta?



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker