COVID-19: Perdana Menteri Prayuth penerima vaksin pertama di Thailand

BANGKOK: Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha akan menjadi warga Thai pertama yang diberi vaksin Sinovac Biotech COVID-19 di Thailand, bagi membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap vaksinasi dalam membanteras pandemik itu di negara berkenaan.

Thailand telah menempah dua juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal China, yang dijangka tiba dalam tiga kumpulan – kumpulan pertama 200,000 dos dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Rabu; diikuti 800,000 dos pada bulan Mac, dan satu juta lagi pada bulan April.

“Saya sudah bersedia untuk vaksinasi,” kata beliau yang dipetik oleh Bangkok Post.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, Thailand dijangka mula melaksanakan program vaksinasinya dalam masa dua atau tiga hari selepas ketibaan vaksin pada hari Rabu ini, kerana Jabatan Sains Perubatan perlu memeriksa vaksin berkenaan terlebih dahulu sebelum program bermula.

Sehingga kini badan pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) Thailand masih belum membenarkan penggunaan kecemasan vaksin Sinovac COVID-19 dari negara China itu.

Ketua Setiausaha FDA Thailand Dr Paisan Dankhum berkata proses pendaftaran untuk pengambilan vaksin itu sudah semakin hampir selesai.

Sementara itu Thailand kekal dengan perintah darurat akibat pandemik COVID-19 sehingga 31 Mac, dalam usaha mengawal jangkitan, dan pada masa yang sama kerajaan melonggarkan pelbagai sekatan dari semasa ke semasa.

Prayuth mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) semalam, dan mesyuarat itu bersetuju untuk melonggarkan lagi pelbagai sekatan dalam negara semasa situasi di negara itu semakin bertambah baik.

Di Samut Sakhon, tempat yang menjadi pusat jangkitan terbaharu COVID-19 di negara itu, pelbagai sekatan terus dikekalkan, dengan pusat-pusat pendidikan, tempat-tempat hiburan, serta venue sukan terus ditutup, manakala pusat beli belah hanya boleh dibuka sehingga pukul 9.00 malam.

Bagi kawasan di lapan wilayah yang masih ‘dikawal’ termasuk Bangkok dan Nonthaburi, semua tempat-tempat hiburan termasuk pub dan bar sudah dibenarkan dibuka, manakala restoran kini boleh menyajikan minuman beralkohol, dan sekolah, pusat beli belah serta pusat-pusat kesihatan akan dibuka seperti biasa.

Bagi semua 54 wilayah ‘hijau’ pula, CSSA berkata semua perniagaan dan premis berkaitan akan dibuka, namun mereka perlu mematuhi pelbagai prosedur operasi standard seperti penjarakan sosial dan sebagainya.

Sementara itu Thailand merekodkan 89 kes COVID-19 baharu dengan kematian sifar dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan jumlah kumulatif di negara itu kini 25,504 kes dan 83 kematian.

Daripada 89 kes baharu, CSSA berkata 73 adalah jangkitan tempatan, dengan 59 kes dikesan semasa mereka mendapatkan rawatan di hospital, dan 14 kes menerusi pengesanan kes aktif; dan16 lagi adalah kes import.

Pembantu jurucakap CCSA, Dr Apisamai Srirangsan berkata, pihak berkuasa kesihatan akan terus memantau rapi situasi COVID-19 di wilayah Phatum Thani dan Tak susulan kemunculan kluster baharu yang dikesan di wilayah berkenaan.

— BERNAMA

COVID-19: Thailand jangka vaksinnya sedia diguna tahun depan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker