Khazanah suntik RM3.6b kepada Malaysia Airlines untuk penstrukturan semula

Khazanah Nasional Berhad akan menyuntik dana RM3.6 bilion kepada syarikat induk Malaysia Airlines Berhad, Malaysia Aviation Group (MAG), bagi menampung kos syarikat itu sepanjang tempoh penstrukturan sehingga 2025.

MAG dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan Khazanah Nasional telah menyatakan komitmen berkenaan dalam rangka penting program penstrukturan semula berkenaan.

Kenyataan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi United Kingdom (UK) pada Isnin memberi lampu hijau membenarkan penstrukturan semula syarikat itu yang mempunyai liabiliti lebih RM15 bilion.

Kenyataan itu menyebut Mahkamah Tinggi UK telah bersetuju dengan skim pengaturan di bawah bahagian 26 Akta Syarikat UK 2006, antara entiti penyewaan MAG MAB Leasing Ltd dan sebahagian besar pesawat MAG yang beroperasi sebagai pemajak hari ini.

Penstrukturan itu merupakan langkah penting buat Malaysia Airlines yang kini berdepan tekanan kewangan akibat kos operasi tinggi, tenaga kerja besar selain kesan sekatan perjalanan akibat COVID-19.

Kerja-kerja penstrukturan semula kewangan itu yang diharapkan selesai pada awal bulan Mac, melibatkan semua pihak berkepentingan utama MAG sebagai mencapai perjanjian dua hala bersama pemberi pinjaman lain seperti pembiayaan dan pengeluar pesawat.

Elemen utama penstrukturan semula termasuk pemotongan rangkaian, penjimatan kos struktur, pemuliharaan tunai dan inisiatif penangguhan pembayaran.

Tambah MAG, ia diterjemahkan kepada sejumlah RM5.5 bilion pada tahun 2020 dan sasaran RM397 juta untuk suku pertama 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail, visi jangka panjang MAG adalah untuk menjadikan syarikat itu sebagai kumpulan pelancongan global yang terkemuka.

Jelasnya, pihaknya akan berusaha untuk meluaskan penglibatan MAG ke dalam produk dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan perjalanan di luar penerbangan, yang akan membantu pelanggan melengkapkan pengalaman perjalanan mereka dari satu tempat ke satu tempat.

Kelebihan kedudukan geografi, pengiktirafan anugerah, ditambah dengan keistimewaan Malaysian Hospitality (MH) sedikit sebanyak akan membantu mempelbagaikan aliran pendapatan dengan meminimumkan keperluan untuk bergantung kepada industri perjalanan udara yang sangat kompetitif.

Malaysia Airlines | Keputusan pentrukturan Malaysia Airlines 10 Feb

Terdahulu, pemajak pesawat milik Malaysia Airlines telah menjalankan undian bagi menentukan sama ada skim penstrukturan syarikat itu boleh dijalankan atau sebaliknya.

Pemajak pesawat merupakan antara 40 pemberi pinjaman kepada Malaysia Airlines melibatkan nilai RM16 bilion.

Malaysia Airlines memerlukan kelulusan pemberi pinjaman untuk meneruskan penstrukturan tersebut yang mana pemajak pesawat merangkumi 75 peratus hutang syarikat.

MAG yang mengesahkan tarikh undian tersebut, berdasarkan laporan The Edge Weekly, berkata pemberi pinjaman telah dibahagikan kepada tujuh kelas dan syarikat hanya membawa kumpulan pemajak pesawat ke mahkamah di Britain untuk tujuan persetujuan penstrukturan.

Pada Januari, MAG berkata ia telah menerima kebenaran mahkamah untuk meneruskan mensyuarat tersebut, yang mana keputusan akan dilaporkan kepada mahkamah pada sesi pendengaran 22 Februari iaitu hari ini.

Leave a Reply