Apa salah Cantik, diseksa hingga mati
Kuala Lumpur: “Saya sedih melihatnya mati dalam keadaan sebegitu dan tidak sangka masih ada individu yang tergamak membunuh haiwan dengan kejam,” kata Mur Salina Junaidi pemilik kucing bunting yang ditemui mati tanpa empat kaki dipercayai akibat didera.
Mur Salina, 20, berkata, bangkai kucing diberi nama Cantik itu ditemui dalam kotak ditutup dengan surat khabar dekat belakang kereta milik bapa saudaranya, Lukman Nur Hakim Bakhtiar, 29, semalam.
Katanya, bapa saudaranya menemui bangkai berkenaan sebelum menghubunginya bagi memaklumkan berita sedih itu.
“Saya dihubungi pak cik kira-kira jam 1 tengah hari semalam iaitu ketika waktu rehat dan baru hendak keluar untuk makan.
“Pak cik memberitahu keadaan Cantik dan tanpa berlengah, saya terus bergegas pulang ke rumah .
“Menggigil badan saya sewaktu melihat bangkai Cantik dan hanya mampu menangis kerana Cantik mati dalam keadaan bunting dan menunggu masa untuk melahirkan anak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mur Salina berkata, dia tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan dan kesakitan dirasai Cantik ketika diperlakukan sebegitu.
“Berdasarkan pemerhatian saya, ada kemungkinan kaki Cantik dicabut dan dipatahkan oleh pelaku, bukan dikerat dengan peralatan tajam.
“Lebih menyedihkan apabila terdapat najis terkeluar kesan menahan sakit teramat dan keadaan itu menunjukkannya seperti didera sewaktu masih bernyawa lagi,” katanya.
Mur Salina berkata, kucing berusia setahun enam bulan itu dipeliharanya sejak 2019.
“Selain Cantik, saya sekeluarga ada memelihara lima kucing lain dan memang ada melepaskannya berkeliaran di dalam dan sekitar rumah.
“Cuma, Cantik selalunya duduk di atas kereta pak cik dan tidak berkeliaran.
“Itu sebabnya saya terkejut apabila Cantik mati dalam keadaan sebegitu dan apa pun alasannya bukan tiket untuk pelaku bertindak kejam kerana haiwan tidak berakal dan sepatutnya dilindungi,” katanya.
Susulan itu, Mur Salina mengikut bapa saudaranya membuat laporan di Balai Polis Gombak jam 1.30 tengah hari semalam.
Namun, Mur Salina berkata, setakat ini, belum ada individu tampil menyalurkan maklumat berkaitan insiden berkenaan.
“Sebenarnya, ayah enggan saya memperbesarkan hal ini tetapi saya tekad membuat laporan demi keselamatan keluarga kami.
“Ini kerana saya bimbang jika pelaku berkenaan cuba memberi isyarat tidak baik dengan cara membunuh Cantik,” katanya.
Mur Salina berterima kasih kepada semua warganet yang prihatin dan memberinya kata semangat.
“Saya tidak sangka ciapan di Twitter akan mendapat maklum balas luar biasa kerana sekadar berkongsi pengalaman sendiri memandangkan sebelum ini hanya membaca kisah sedih berkaitan kekejaman haiwan lain.
“Kini, haiwan peliharaan saya pula menjadi mangsa dan diharap perkongsian itu membuka mata masyarakat bahawa isu berkenaan (kekejaman haiwan) yang perlu dipandang serius,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) Arie Dwi Andika ketika dihubungi meminta saksi tampil membuat laporan kepada pihak polis.
“Diharap kes itu mendapat perhatian daripada pihak berkuasa dan saksi boleh menyalurkan maklumat terus kepada pihak polis, menghubungi pemilik kucing itu atau menghantar kiriman Whatsapp Hotline Animal Malaysia di talian 01120901097 dengan segera,” katanya.