Presma syor had jumlah pelanggan di waktu puncak

Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mengesyorkan kepada semua ahlinya untuk mengehadkan jumlah pelanggan terutama ketika waktu puncak bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Langkah itu susulan pengumuman kerajaan yang memberi kelonggaran kepada restoran dan kedai makan boleh beroperasi dengan kapasiti pelanggan mengikut meja, berbanding hanya dua orang sebelum ini.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ia sebagai langkah tambahan bagi membendung penularan Covid-19 di restoran dan kedai makan di seluruh negara.

Katanya, inisiatif itu difikirkan sesuai berdasarkan pengalaman beroperasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebelum ini.

“Pemilik restoran sudah ada pengalaman bagaimana terkesannya mereka bila pelanggan tidak dibenarkan makan di restoran.

“Dari segi pendapatan, berniaga secara belian bungkus menyebabkan ia merosot sehingga 80 peratus.

“Bila dibenarkan dua orang, rata-rata pemilik restoran mula lega dengan peningkatan pendapatan sekitar 35 hingga 40 peratus. Sebab itu kali ini, sebagai rasa terima kasih di atas kelonggaran diberikan, saya syorkan supaya kita jaga betul-betul, pastikan sektor perniagaan makanan tidak menyumbang kepada peningkatan jumlah kes positif,” katanya.

Jawahar Ali berkata, antara cadangan dikemukakan ialah penggunaan sistem nombor pada waktu puncak dan penyediaan ruang menunggu khusus bagi pembelian secara bungkus.

Menurutnya, dengan cara itu, pekerja restoran dapat memantau pematuhan SOP dengan berkesan demi kebaikan bersama.

“Kita harap keadaan akan segera pulih dan sektor perniagaan boleh beroperasi seperti dulu.

“Selepas semuanya kembali normal kita harap akan dapat beroperasi sehingga 12 malam dan peniaga juga dibantu menerusi pinjaman tanpa syarat serta subsidi sewa.

“Yang penting sekarang ialah bagaimana kita perlu pastikan semua pihak mematuhi SOP untuk mengekang Covid-19, dan Presma akan bersama-sama memainkan peranan itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker