10 kes baru Covid-19

PUTRAJAYA: 10 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 15 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 121 orang kerana tiada kematian dilaporka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, 2 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,658 kes Covid-19 dengan 8,461 daripadanya disahkan sembuh.

Ketika ini, 76 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Noor Hisham berkata, daripada 10 kes baru yang dilaporkan, 7 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan warganegara Malaysia.

Katanya, daripada 3 kes penularan dalam negara, 1 kes adalah bukan warganegara, iaitu kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Seremban, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke penjara.

“Dua kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia, iaitu 1 kes di Wilayah Persekutuan, iaitu saringan pra pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. Kes tersebut dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Satu kes di Sabah iaitu saringan petugas kesihatan yang tamat bertugas di sebuah pusat kuarantin di Likas,” katanya.

Kluster Pudu tamat

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, kluster baru yang tamat ialah kluster Pudu.

Katanya, kluster ini adalah kluster kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mula dikesan daripada saringan pekerja di sebuah tapak pembinaan.

“Kes positif Covid-19 pertama kluster ini dikesan pada 10 Mei lalu susulan saringan Covid-19 yang dijalankan bagi pekerja (inisiatif majikan tersebut).

“Sehingga 3 Julai lalu, seramai 3,387 disaring dan didapati 80 kes positif Covid-19, iaitu dengan kadar positif 2.36%.

“Kes positif kluster ini merangkumi 97.5% bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Noor Hisham berkata, antara warganegara asing yang terlibat ialah 69 warga Bangladesh, 7 Myanmar, 2 Indonesia dan 2 rakyat Malaysia.

Katanya, kawalan pentadbiran dilaksanakan di kawasan kluster ini dengan bantuan pelbagai agensi lain bagi menjalankan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan seterusnya langkah pembendungan penularan jangkitan.

“Hasil siasatan mendapati bahawa faktor yang menyumbang kepada penularan jangkitan Covid-19 dalam kluster ini adalah penginapan yang sesak dan mempunyai ruang yang sempit.

“Keadaan ini mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial yang selamat (social distancing) dalam kalangan mereka yang dikesan positif,” katanya.

PRK DUN Chini

Noor Hisham berkata, seramai 140 anggota kesihatan bertugas di 13 pusat pengundian dalam pilihan raya kecil (PRK) Chini, Pahang hari ini.

Katanya, sehingga jam 3 petang hari ini, 98 pengundi dirujuk ke khemah rawatan.

“Enam pengundi didapati bergejala dan dibenarkan mengundi di khemah rawatan dan seorang pengundi dirujuk ke Klinik Kesihatan untuk rawatan lanjut,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker