Lebih ramai menganggur untuk tempoh lebih lama

Sebaran :

Pengangguran cenderung meningkat tahun ini di kala sektor swasta membantutkan pengembangannya, kata ahli ekonomi mengulas statistik rasmi terkini yang menunjukkan pengangguran meningkat kepada 4.8% pada Disember tahun lalu.

Ahli ekonomi Universiti Tun Abdul Razak Barjoyai Bardai berkata, pengangguran cenderung bertambah buruk dengan lebih ramai orang menganggur untuk jangka masa lebih lama.

“Ini akan meningkat lebih tinggi daripada 4,8%. Menganggur untuk jangka waktu yang lebih lama akan menjadi ciri tetap,” katanya kepada FMT.

Katanya, sektor swasta mungkin tidak mahu mengambil pekerja untuk pelbagai pekerjaan perkeranian dan pekerjaan lain yang boleh dilakukan dengan perisian atau kecerdasan buatan (AI).



“Syarikat sedang menghapuskan pekerjaan yang dapat dilakukan oleh AI untuk mengurangkan overhed,” katanya.

Laporan tenaga kerja Jabatan Statistik untuk Disember menunjukkan terdapat 772,900 penganggur, meningkat dari 764,400 pada November.

“Ketika pandemik Covid-19 terus meluas ke seluruh dunia, ditambah dengan lonjakan kes harian baru di Malaysia, diramalkan pasaran buruh Malaysia akan kekal mencabar pada awal 2021,” menurut laporan itu.

Daripada 772,900 penganggur, sekitar 83.4% sedang secara aktif mencari pekerjaan baharu sementara selebihnya diklasifikasikan sebagai “pengangguran yang tidak aktif atau tawar hati” kerana mereka tidak melakukan apa-apa mengenai keadaan mereka kerana percaya tiada pekerjaan yang tersedia.



Barjoyai mencadangkan supaya kerajaan meneliti semula skema latihan dan hanya memberi subsidi kepada mereka yang mengikuti latihan itu. Latihan harus dipacu oleh pasaran supaya golongan terbabit tidak ketinggalan.

“Sebilangan daripada mereka mungkin memerlukan latihan selama enam bulan. Beri mereka elaun untuk bertahan ketika mengikuti latihan,” katanya.

Bagi program diploma dan ijazah, katanya kerajaan perlu memperhebatkan pendidikan yang dipacu oleh pasaran dengan menjalin hubungan dengan sektor swasta.

“Ini adalah salah satu cara bagi rakyat untuk terus relevan dalam pasaran pekerjaan,” katanya.



Dengan Malaysia masih mencatat lebih daripada 3,000 kes Covid-19 sehari, beliau berkata, tidak ada jaminan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan ditamatkan menjelang 18 Feb, ekonomi akan merosot lebih jauh jika sekatan diteruskan.

“Syarikat akan mengalami lebih kerugian,” katanya, sambil menambah, lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana mungkin akan gulung tikar sekiranya kerajaan meneruskan sekatan, dan bukannya melaksanakan langkah yang lebih disasarkan untuk membendung penyebaran jangkitan.

Ahli ekonomi Yeah Kim Leng berkata, penggunaan kekal rendah, membantutkan segala usaha sektor swasta untuk mengembangkan perniagaan.

“Pengangguran hanya akan berkurangan apabila ekonomi pulih dan pandemik dapat diatasi,” katanya kepada FMT.

Yeah menjangkakan separuh pertama 2021 akan mencabar kecuali Malaysia dapat mengatasi pandemik dan aktiviti sosial kembali ke tahap normal.

“Sehingga itu, perbelanjaan pengguna akan kekal rendah, manakala (kadar) pengangguran tinggi,” katanya.

Malaysia mencatatkan pengangguran sebanyak 5.3% pada Mei 2020 kerana penutupan ekonomi negara, dan banyak sektor ekonomi, terutama perkhidmatan, masih tidak dapat pulih daripada kerugian mereka, katanya.-FMT


Sebaran :

One thought on “Lebih ramai menganggur untuk tempoh lebih lama

  • Waktu macamni kita kena sedaya upaya cari pekerjaan, jangan memilih sebab kita tak tahu bila pendemik ni akan berakhir. Sebabtu kena usaha, rezeki ada dimana-mana.

    Reply

Leave a Reply