Pengangguran miskin bandar meningkat sekali ganda di KL

KUALA LUMPUR: Pengangguran dalam kalangan ketua keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di pangsapuri kos rendah di bandar raya Kuala Lumpur meningkat sekali ganda sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada tahun lalu.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam kenyataan hari ini, berkata kajian dilakukan pihaknya dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Disember tahun lalu menunjukkan situasi sosioekonomi bagi kira-kira separuh daripada jumlah isi rumah yang dikaji terus merosot.

Berdasarkan Bahagian Tiga laporan ‘Families on the Edge,’ pengangguran dalam kalangan ketua keluarga meningkat sekali ganda daripada tujuh peratus pada September 2020 kepada 15 peratus pada Disember lalu, manakala satu daripada tiga orang dewasa dalam isi rumah yang mengambil bahagian masih menganggur.

“Pengangguran dalam kalangan wanita dan orang kurang upaya (OKU) yang menjadi ketua keluarga juga meningkat masing-masing kepada 13.4 peratus dan 50 peratus.

“Kadar kemiskinan dalam kalangan semua keluarga ini kekal tinggi pada 42 peratus meskipun mendapat bantuan kerajaan bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh itu dan kemiskinan lebih ketara dalam kalangan wanita serta OKU yang menjadi ketua keluarga (55 peratus) dengan satu daripada dua dan enam daripada 10 keluarga hidup dalam kemiskinan,” kata kenyataan itu.

UNICEF berkata, kadar kemiskinan dalam kalangan keluarga diketuai wanita meningkat daripada 47 peratus pada September 2020 kepada 61 peratus pada Disember 2020 dan trend sama berlaku dalam kalangan keluarga diketuai OKU dengan lebih separuh (55 peratus) adalah miskin tegar, manakala hampir semua hidup dalam kemiskinan relatif (98 peratus).

Wakil UNICEF di Malaysia merangkap Wakil Khas agensi badan dunia itu ke Brunei, Dr Rashed Mustafa Sarwar, berkata data terkini daripada Families on the Edge itu mencadangkan meskipun keadaan sesetengah keluarga sudah mulai pulih, yang lain terus merosot dan pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hampir mencapai tahap paling teruk.

Kadar pengangguran pasca PKP boleh cecah 6.5%, kata badan pemikir

“Kita perlu memikirkan semula isu perlindungan sosial untuk golongan paling rentan termasuk melalui pengembangan liputan sokongan pendapatan untuk keluarga berpendapatan rendah, penyediaan bantuan sara hidup yang disasarkan terutama untuk mereka yang bekerja sendiri.

“Kami memberikan sokongan kepada kerajaan dan berharap dapat bekerjasama memperkukuhkan dasar dan program untuk keluarga memerlukan,” katanya

Wakil UNFPA di Malaysia Najib Assifi pula berkata, dinamik sosial semua keluarga ini akan berubah apabila mereka melakukan yang terbaik dalam mendepani situasi ekonomi yang semakin memburuk.

“Dengan peningkatan situasi yang memburukkan lagi masalah kesihatan mental, ia mula membentuk kehidupan tidak sihat dalam persekitaran; secara psikologi dan kadang-kadang secara fizikal.

“Tiada yang lebih terjejas daripada kanak-kanak, mereka yang menghidap penyakit kronik, OKU dan tentunya individu yang menjaga mereka,” katanya.

Bahagian 3 laporan Families on the Edge adalah berdasarkan pengumpulan data pusingan ketiga yang menggambarkan status sosioekonomi dan kesejahteraan sekumpulan 500 keluarga yang mempunyai anak dan tinggal di pangsapuri kos rendah di Kuala Lumpur.

Bahagian keempat dan terakhir akan dikeluarkan pada April ini. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker