Kadar pengangguran pasca PKP boleh cecah 6.5%, kata badan pemikir

Sebuah badan pemikir memberi amaran kadar pengangguran boleh mencecah 6.5% pada akhir suku kedua tahun ini.

Dalam taklimat berhubung penunjuk ekonomi suku tahunan, Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) yang memetik angka daripada skim insurans pekerjaan kerajaan Perkeso, berkata, 53,952 orang hilang pekerjaan antara Januari dan 4 Julai tahun ini, iaitu mengatasi jumlah keseluruhan tahun lalu.

Angka itu hanya meliputi penyumbang Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso dan tidak mengambil kira 2.7 juta yang bekerja sendiri.

SERC bagaimanapun, berkata dengan tanda-tanda ekonomi kembali pulih secara perlahan, kadar pengangguran akan kembali stabil.

“Itulah sebabnya saya percaya kadar pengangguran kemungkinan akan meningkat hingga suku ketiga,” kata pengarah eksekutif SERC, Lee Heng Guie.

Angka bagi suku kedua belum diterbitkan.

“Ramalannya antara 5.5% dan 6.5%. Kami berharap ia akan kekal pada 5.5%,” tambahnya dengan berkata, kadar pengangguran pada waktu biasa adalah 3.1%. Kadar pengangguran semasa pada suku pertama adalah sebanyak 5%.

Lee berkata, inisiatif pasaran kerja kerajaan, termasuk Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) berjaya menyelamatkan sekitar 2.7 juta pekerjaan.

Namun katanya, dengan hampir 200,000 orang mendaftar untuk ERP, ini menunjukkan ramai yang hilang pekerjaan.

Lee berkata, wujud keperluan untuk menstabilkan kadar pengangguran bagi memastikan perbelanjaan pengguna berterusan.

“Secara keseluruhan, SERC menjangkakan perbelanjaan persendirian akan perlahan hingga 1.5% pada tahun 2020. Apabila rakyat Malaysia berasa lebih selamat daripada virus dan mempunyai pendapatan yang lebih kukuht, mereka akan mula berbelanja,” tambahnya.

Beliau berkata, orang ramai kini berasa lebih yakin untuk meneruskan semula kehidupan harian mereka, justeru akan meningkatkan perbelanjaan pengguna pada separuh kedua tahun ini.

“Pembelian runcit adalah indikasi utama untuk melihat sama ada kehadiran pengunjung ke pusat membeli-belah utama sudah meningkat.”

Ketika ini katanya, kehadiran di pusat membeli-belah utama adalah sekitar 50% hingga 70%, sementara kadar jualan meningkat sehingga sekitar 40%.

Kira-kira 10% kedai runcit di beberapa pusat membeli-belah pertengahan ditutup.

Lee juga berkata, kestabilan politik dan dasar yang konsisten adalah amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik.

“Bagi pelabur, paling penting adalah kesinambungan dasar dan pembaharuan yang bermakna supaya pelabur mempunyai keyakinan terhadap arah tuju kita.

“Kita mesti hindari dasar yang terumbang-ambing.”

Beliau juga berkata, perlu ada penekanan pada pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), dan untuk ini berlaku, kejelasan dasar adalah penting.

” Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) menggariskanlangkah-langkah yang bermanfaat untuk mendorong FDI dan DDI, terutama industri kecil dan sederhana (IKS).”

Untuk belanjawan akan datang, Lee berkata, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan insentif seperti menurunkan cukai korporat dari 24% ke 22%, dan dari 17% ke 15% untuk IKS, serta meningkatkan insentif dan elaun untuk pelaburan.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker