Jadikan ujian saringan berskala besar senjata utama bendung Covid-19

PETALING JAYA: Seorang senator mendesak kerajaan persekutuan menjadikan ujian saringan berskala besar Covid-19 sebagai senjata utama dalam perang melawan wabak tersebut.

Senator Liew Chin Tong berkata, larangan perintah kawalan pergerakan yang kedua dapat dielakkan jika kapasiti ujian saringan ditingkatkan pada April 2020, iaitu pada peringkat awal sekatan tahun lalu.

Sekatan PKP semasa mungkin dapat dielakkan jika kapasiti ujian saringan dipertingkat dan ujian besar-besaran terus dilakukan sepanjang tempoh PKP mulai 18 Mac tahun lalu, katanya dalam satu kenyataan.

“Sekarang saatnya perdana menteri menggunakan ujian saringan sebagai mekanisme pertahanan No 1 dalam ‘perang’ kita melawan Covid-19,” katanya.

Liew mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk bersikap telus mengenai rancangan kerajaan untuk meningkatkan kemampuan ujian saringan negara.

Beliau juga mempersoalkan keengganan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan alat ujian pantas untuk mencapai sasaran 150,000 hingga 200,000 ujian sehari.

“Sementara ketua pengarah kesihatan berkata kementerian tidak menentang penggunaan kit ujian pantas, tidak ada tanda-tanda bahawa kerajaan sedang meningkatkan ujian pantas ke tahap yang diperlukan,” kata Liew, yang juga Pengarah Strategik DAP.

Walaupun kit ujian pantas kurang tepat berbanding kaedah ujian RT-PCR molekul, beliau berkata kit ujian pantas boleh digunakan di penjara, lokaliti dengan kluster dan kenalan rapat yang asimptomatik.

Liew mendesak kerajaan untuk mengguna pakai “pendekatan seluruh jentera kerajaan” melalui Majlis Keselamatan Nasional dan bukannya pendekatan yang didominasi oleh kementerian kesihatan saat ini dalam menangani wabak tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengkritik menteri kanan (keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

“Entah bagaimana, (Ismail) hanya mengumumkan SOP dan berapa banyak orang yang ditangkap, tanpa menyuntik pemikiran strategik secara keseluruhan”.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataan baru-baru ini, kapasiti ujian di makmal kementerian telah mencapai kapasiti maksimum. Beliau menggesa makmal swasta, dan mereka yang berada di hospital universiti serta tentera untuk meningkatkan kapasiti mereka.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker