Indonesia tahan wanita British dalam senarai pengganas
JAKARTA: Indonesia menahan seorang wanita British yang tersenarai sebagai suspek pengganas global dan merancang untuk mengusirnya ke negara asal kerana melanggar peraturan visa.
Tazneen Miriam Sailar, yang dilahirkan di Manchester, England dan menganut Islam selepas berkahwin dengan pejuang jihad Indonesia yang kini sudah meninggal dunia, tidak dikenakan pertuduhan keganasan.
Tazneen, 47, dan anaknya yang berusia 10 tahun dan lahir di Indonesia, berada dalam tahanan di Jakarta selepas ditangkap tahun lalu atas dakwaan tidak memiliki dokumen untuk terus berada di negara itu.
Jurucakap Imigresen Indonesia, Ahmad Nursaleh, memberitahu AFP bahawa wanita itu ditahan sementara menunggu penghantaran pulang, yang akan diuruskan oleh Kedutaan Britain.
Kedutaan British di Jakarta enggan mengulas berhubung perkara itu, dan tidak dapat dipastikan bila wanita itu akan dihantar pulang.
Dokumen polis tidak menyatakan mengapa Tazneen disenaraikan bersama kira-kira 400 lagi suspek pengganas, termasuk suaminya yang terbunuh di Syria pada 2015, kata sumber.
Turut berada dalam senarai itu adalah seorang warga Perancis yang ditunjuk memenggal kepala tebusan dalam video DAESH serta individu rapat dengan suspek pembunuhan kakitangan majalah kontroversi Perancis, Charlie Hebdo.
Tazneen dan suaminya dinikahkan oleh pendakwah radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir, ketua agama kumpulan ekstremis Jemaah Islamiyah (JI), menurut sumber yang rapat dengan kes berkenaan.
Anggota JI itu adalah antara yang dikaitkan dengan pengeboman Bali yang meragut lebih 200 nyawa, termasuk 90 rakyat Australia sedang bercuti, pada Oktober 2002.
Tazneen memiliki badan kebajikan yang dinamakan sempena suaminya, bertanggungjawab menghantar bantuan kepada wanita dan kanak-kanak di Syria, kata sumber. – AFP
You must be logged in to post a comment.