‘Mama Pergi Mana, Kami Rindu Nak Peluk’

KLANG – Tiga beradik hilang kasih ibu sekelip mata apabila wanita yang disayangi itu me­ninggal dunia dalam kemalangan ke tempat kerja di Persiaran Raja Muda Musa di sini, Isnin lalu.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 6,30 pagi itu, Nurul Chasanah Ahmad Sobirin, 35, yang merupakan warga tempa­tan meninggal dunia akibat dilan­g­gar sebuah motosikal selepas terjatuh daripada motosikal yang ditunggangnya.

Lebih memilukan, Mohammad Aryan Hafizuddin Abdullah, 5; Mohammad Harraz Naufal, 4, dan Raisya Maryam yang berusia setahun hilang kasih sayang bapa dikenali Abdullah, 30, setelah lelaki itu gagal dihubungi selepas pulang ke Indonesia pertengahan 2019.

Abang sulung Nurul Chasa­nah, Khoiruddin, 44, berkata, ketiga-tiga anak saudaranya ke­rap bertanya tentang ibu mereka selepas didapati tidak pulang daripada kerja sebagai pembantu kantin di sebuah kilang sejak Isnin lalu.

“Mereka kerap menangis terutama pada awal pagi dan petang kerana rindu tidak melihat wajah dan memeluk Nurul Chasanah yang menjadi rutin harian.

“Paling kami sedih melihat Raisya yang tercari-cari ibunya kerana masih menyusu badan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumah keluarganya di Kampung Delek di sini, semalam.

Bercerita lanjut, Khoiruddin yang merupakan penyelia gudang itu memberitahu, pada hari kejadian, adiknya tidak me­nunjukkan sebarang perubahan ketara.

“Apabila adik pergi kerja di Meru, ibu saya (Husnul Fatimah Mustofa, 64) akan datang ke rumah arwah di Pelabuhan Klang untuk menjaga tiga cucunya itu.

“Namun, luluh hati apabila dimaklumkan Nurul Chasanah meninggal dunia selepas dihubungi ibu kira-kira pukul 10.30 pagi hari kejadian. Kami pasrah dan akan memikul tanggungjawab menjaga tiga beradik itu,” jelasnya.

Jenazah Nurul Chasanah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sireh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kereta lalu terjatuh dan dilanggar sebuah motosikal lain.

“Mangsa yang mengalami ­pendarahan di mulut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh menyalurkannya di akaun bank Khoiruddin yang bernombor 4305574905 (Public Bank) atau menghubungi beliau di talian 018-2007877.-K’Online

Leave a Reply