Anak Koperal Norihan yang parah ditembak rindu bapa

“Bapa mana mak…? Adik nak jumpa, rindu…”

Itulah soalan berat yang terpaksa dijawab Fardilla a/p Adam, 35, setiap kali ditanya oleh dua anaknya yang sering dihubungi bapa mereka, Kpl Norihan a/l Tari, melalui panggilan video setelah habis bertugas.

Norihan, 39, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang kini dinaikkan ke pangkat Sarjan, sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini setelah mengalami kecederaan parah dalam insiden berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.

Dalam insiden awal pagi itu, rakan setugas Norihan, Kpl Baharuddin Ramli, 54, yang turut dinaikkan pangkat, terbunuh di lokasi kejadian, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.



Baharuddin dan Norihan, dari unit Senoi Praaq PGA Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang terlibat dalam pengumpulan maklumat terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup, menyebabkan berlakunya kejadian berbalas tembak itu.

Fardilla yang bergegas ke sini dari Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Ulu Beranang, Negeri Sembilan untuk berada di sisi suaminya, berkata Norihan suka melayan telatah anak lelaki mereka, Rayyan Jesly, lapan, dan anak perempuan, Notesa, tujuh, selain sering membuat panggilan video setelah habis bertugas.

“Lidah saya terkedu apabila anak-anak minta saya menghantar gambar bapa mereka, sedangkan saya tidak mampu berbuat demikian kerana suami saya kini dalam pengawasan rapi pihak hospital setelah menjalani satu pembedahan semalam,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lobi HTF hari ini.

Suri rumah itu berkata beliau terpaksa meminta ibunya menjaga anak-anaknya itu di kampung.



Semasa perbualan, wanita itu beberapa kali memandang ke arah tingkap sambil mengesat air mata.

Katanya apa yang penting adalah suaminya selamat dan kini berada dalam keadaan stabil.

Fardilla berkata beliau datang ke Perlis dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Negeri Sembilan, sampai ke HTF pada 9.00 pagi.

Kejadian kira-kira 3 pagi itu dilaporkan berlaku di kawasan belukar di kebun getah yang dijadikan kawasan laluan penyeludupan, kurang 600 meter dari kawasan sempadan. Tembakan anggota polis itu telah mencederakan beberapa penyeludup dan ada di antaranya ditahan polis Thailand.



Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM bersetuju menaikkan pangkat Baharuddin Ramli dan Norihan yang bertugas di Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara PGA kepada Sarjan.

Abdul Hamid berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara pengebumian mendiang Baharuddin, dari suku kaum Semelai, dengan penuh istiadat kepolisan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Sungai Sampo, Bandar Sri Jempol. BERNAMA

https://mykmu.net/2020/11/25/suasana-pilu-sambut-jenazah-anggota-pga/



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker