Thaipusam: Jalan di Gombak ditutup hari ini hingga awal pagi 29 Jan
KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di daerah Gombak akan ditutup, sempena perarakan sambutan Thaipusam mulai hari ini hingga awal pagi 29 Jan.
Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata, penutupan jalan itu susulan kebenaran pergerakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membawa arca Dewa Murugan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun HS Lee ke Kuil Seri Subramaniam, Batu Caves esok.
Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata orang ramai tidak perlu hadir kerana upacara sembahyang di kuil sempena Thaipusam kali ini tidak dibenarkan.
“Laluan terbabit adalah susur ke Kuil Batu Caves dari arah Bulatan Batu Caves, susur MRR2 ke Jalan Perusahaan Batu Caves, simpang Jalan Perusahaan ke Bulatan Batu Caves, jalan ke tempat mandian utama, Sungai Batu Caves,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, jalan akan dibuka semula pada 29 Jan jam 6 pagi.
Katanya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP PKP (Thaipusam) yang telah ditetapkan MKN.