Kematian COVID-19 di AS cecah 400,000

WASHINGTON: Lebih 400,000 orang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) sejak pandemik itu mula melanda.

Berdasarkan data dikeluarkan Universiti Johns Hopkins, angka berkenaan direkodkan sebulan selepas negara itu mencatatkan 300,000 kematian pada pertengahan Disember tahun lalu dan pasca setahun pengumuman kematian pertama COVID-19, akhir Februari 2020.

Secara perbandingan, AS masih mendominasi angka kematian tertinggi akibat COVID-19, walaupun sesetengah negara merekodkan angka korban lebih banyak berbanding populasi mereka seperti Itali, Britain dan Belgium.

Menelusuri semula sejarah penularan pandemik itu sejak kematian pertama direkodkan di AS pada Februari 2020, angka kematian melonjak melepasi 100,000 orang hanya dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

Susulan gelombang pertama wabak COVID-19 yang menular di New York ketika itu, kadar kematian mencecah 200,000 dalam tempoh empat bulan berikutnya.

Kadar kematian terus meningkat, menjangkau 300,000 dalam tempoh tiga bulan selepas itu.

Ketibaan musim sejuk dan cuti sejak kebelakangan ini memburukkan lagi keadaan apabila jangkitan wabak berkenaan meningkat di seluruh AS, termasuk angka kematian.

Bersandarkan tinjauan Washington Post-NBC semalam, satu daripada dua rakyat AS menaruh kepercayaan penularan virus COVID-19 kini berada di luar kawalan.

Kira-kira 120,000 orang buat masa ini ditempatkan di hospital bagi menerima rawatan selepas disahkan dijangkiti COVID-19.

Universiti Johns Hopkins yang berpangkalan di Baltimore melaporkan AS sehingga kini merekodkan lebih 24.1 juta kes positif COVID-19, malah angka berkenaan dipercayai jauh lebih tinggi susulan kegagalan melaksanakan aktiviti pengesanan dan saringan ketika pandemik terbabit mula melanda.

AS sebelum ini mula melaksanakan program imunisasi terhadap rakyatnya pada pertengahan Disember tahun lalu, namun pakar meramalkan wabak berkenaan hanya mampu dikawal dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Hanya tiga peratus atau kira-kira 10.5 juta daripada keseluruhan penduduk di AS sudah menerima satu suntikan vaksin Pfizer BioNTech dan Moderna yang dilesenkan. – AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker