[VIDEO] Diarah Bekerja Walaupun 100 Pekerja Positif Covid-19

Pekerja kilang milik sebuah syarikat di Taman Industri Integrasi Rawang didakwa untuk terus hadir bekerja seperti biasa walaupun lebih 100 pekerjanya didakwa positif wabak Covid-19 sejak 5 Januari lalu.

Satu sumber mendakwa, kilang tersebut mempunyai hampir 1,000 orang pekerja dan baki mereka yang masih sihat perlu hadir bekerja seperti biasa.

Tangkap layar asrama terbabit.

“Syarikat enggan menghentikan operasi biarpun lebih 100 pekerja sudah diangkut Kementerian Kesihatan (KKM) ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC), Serdang.

“Kami sangat takut. Ada daripada kes pada mulanya keputusan calitan negatif namun tiba-tiba demam, sebelum didapati positif wabak itu,” dakwanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sumber itu mendakwa, masih ramai dalam kalangan pekerja tempatan yang tidak melakukan ujian calitan kerana tidak mahu dipotong gaji.

“Jika ada pekerja yang membuat ujian calitan, syarikat akan tanggung tapi gaji pekerja akan dipotong kemudiannya,” dakwanya.

Dakwanya, arahan bekerja dari rumah sebanyak 30 peratus juga hanya diguna pakai bagi yang berjawatan penolong pengurus ke atas sahaja manakala lain-lain perlu hadir seperti biasa.

Pada masa sama, dakwanya, pihak syarikat juga tidak menggunakan khidmat profesional untuk membuat kerja-kerja sanitasi.

Sebaliknya, dia memberitahu, syarikat hanya mengarahkan pekerjanya membeli peralatan sanitasi dan melakukannya sendiri.

“Di Rawang, syarikat ini mempunyai tiga premis kilang dan sebuah gudang. Kesemuanya mempunyai kes positif Covid-19,” dakwanya.

Ahmad berkata, pekerja dimaklumkan kilang itu ditutup selama dua hari bermula semalam bagi kerja-kerja sanitasi manakala produksi dihentikan hari ini, namun akan kembali beroperasi esok.

Isu itu dimuat naik di laman Facebook oleh seorang pengguna dengan nama Shahril MunkeyInc yang memuat naik video dan gambar lokasi asrama pekerja kilang berkenaan di Taman Industri Integrasi Rawang.

VIDEO DIBAWAH:-

[KGVID]https://videos.files.wordpress.com/Qn3GMwWH/pekerja-diarah-bekerja-walaupun-100-pekerja-positif-covid-19_hd.mp4[/KGVID]

Dia mempersoalkan mengapa pihak berkuasa masih belum menutup kawasan kilang tersebut walaupun sudah ramai pekerjanya disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, sebanyak enam bas telah digunakan untuk mengangkut pekerja kilang tersebut sejak tiga hari lalu.

“Kasihan kawan-kawan saya ke kilang itu macam tunggu giliran nak mati sahaja. Kalau tak kena, selamatlah. Kalau kena, kena angkutlah jawabnya.

“Kan berita dah masuk, Kluster Taman Integrasi pun sudah ada. Apa lagi nak? Nak jadi macam Top Glovekah?” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, semua yang didapati positif telah dibawa ke Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang sejak empat hari lalu.

“Justeru, tiada keperluan untuk menutup kilang tersebut selagi mana tiada arahan sedemikian dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menurut Arifai, pekerja positif Covid-19 tersebut merupakan sebahagian daripada Kluster Taman Integrasi yang diumumkan baru-baru ini oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, jurucakap syarikat itu menafikan hantaran di laman Facebook berkenaan dan enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut. – K! ONLINE

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker