Polis rampas dua tan ketum di Wang Kelian

Sebaran :

 

PADANG BESAR: Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai cuba menyeludup hampir dua tan daun ketum bernilai RM71,750 ke Thailand, selepas menyerbu dua lokasi di Wang Kelian, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abas, berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan dalam kereta dipandunya menemui bungkusan plastik hitam berisi daun hijau disyaki ketum.

Terdahulu, katanya, polis yang menjalankan rondaan berdekatan View Point Wang Kelian, di sini, pada jam 5.30 petang ternampak sebuah kereta Perodua Alza berwarna biru dipandu dalam keadaan mencurigakan.



“Anggota polis peronda kemudian mengekori kenderaan berkenaan sebelum memintas dan mengarahkan pemandu kereta itu berhenti

“Sebaik kereta berhenti dan pemeriksaan dilakukan, kami menemui daun ketum dianggarkan seberat 650 kilogram (kg) dengan nilai anggaran hampir RM20,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifudin Aslin berkata, kejayaan itu membawa polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar ke dua rumah kosong di Kampung Wang Kelian, pada jam 8 malam dan 10 malam hari sama.


Dalam serbuan jam 8 malam itu, katanya, pihaknya menemui longgokan daun ketum yang dianggarkan seberat 500 kg.

“Serbuan berkenaan juga membawa kepada penemuan daun ketum di sebuah lagi rumah pada jam 10 malam di mana polis menjumpai longgokan daun ketum seberat 1,225 kg.

“Rampasan daun ketum di kedua-dua rumah berkenaan dianggarkan bernilai RM51,750,” katanya.

Beliau berkata, kesemua rampasan daun ketum dianggarkan bernilai RM71,750 dan suspek serta rampasan daun ketum itu dibawa ke IPD Padang Besar untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


Sebaran :

Leave a Reply