Batal HSR bukti Malaysia perlu tadbir urus prasarana lebih baik, kata badan pemikir

IDEAS berkata, kerajaan perlu memberi justifikasi kenapa ia mengetepikan syarikat aset bersama dalam projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir menggesa pembaharuan dibuat dalam pembangunan dan perancangan prasarana susulan pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, projek itu membuktikan bahawa ketelusan merupakan komponen penting bagi sistem pengurusan prasarana yang berkesan.

Menurut Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung sebab utama projek itu dibatalkan adalah cadangan Malaysia untuk mengetepikan syarikat aset bersama (AssetCo) yang menurutnya bukan sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani pada 2016.

CEO IDEAS, Tricia Yeoh berkata, keputusan Malaysia untuk mengetepikan AssetCo daripada struktur projek perlu diberikan justifikasi penuh kepada masyarakat awam

“Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana penyelesaian alternatifnya akan menjadi versi lebih baik daripada versi AssetCo.

“Dalam mengemukakan alternatif itu, kerajaan juga perlu memastikan pelantikan kontraktor dilakukan dengan telus dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.

Sewaktu perubahan kerajaan dan pandemik Covid-19 menyumbang kepada masalah yang dihadapi Malaysia berkait projek berskala besar lain seperti Melaka Gateway dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Yeoh berkata, ketelusan awam sangat penting dalam membina akauntabiliti dan memastikan penggunaan tepat dana awam.

Beliau berkata, wujud keperluan bagi pendekatan lebih sistematik dalam merancang dan memilih projek, selain menambah bahawa ia perlu dibuat berdasarkan keperluan ekonomi dan kadar bayaran balik kos tertinggi.

Katanya, tadbir urus prasarana di negara ini memerlukan pemantauan Parlimen dan penelitian awam lebih ketat, selain menambah bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur Dewan Rakyat perlu memainkan peranan aktif dalam pemantauan projek pada masa depan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker