Suami isteri maut dirempuh, digilis kereta selepas pulang dari majlis tahlil

Suami isteri maut dirempuh, digilis kereta selepas pulang dari majlis tahlil
Keadaan di lokasi kejadian sejurus kemalangan. -Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Pasangan suami isteri warga emas yang baru sahaja pulang dari majlis tahlil keluarga di Kepala Batas, Pulau Pinang maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kenderaan.
Ketika kejadian, mangsa Mt Kassim Mt Isa, 61, dan isteri Azizah Mohamad, 60, difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Gedung, Sungai Petani.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam pada Selasa di Kilometer 65.5 Jalan Alor Setar-Butterworth, Padang Temusu, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai berhenti di satu persimpangan jalan.
Bagaimanapun, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.
Akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan.
Pada masa sama, dua buah kereta jenis Toyota Vios dan Proton Iswara yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak dan melanggar kedua-dua mangsa yang terbaring di atas jalan.
Menurut Adzli, akibat pelanggaran itu, mangsa Mt Kassim Mt Isa maut di tempat kejadian manakala isterinya yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Leave a Reply