Semua sekolah, IPS akan dibuka mengikut jadual, kata KPM
Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan dan institusi pendidikan swasta (IPS) yang berdaftar dengannya termasuk sekolah antarabangsa, akan dibuka berdasarkan takwim penggal persekolahan dan institusi pendidikan bagi 2021.
Dalam kenyataannya hari ini, KPM berkata takwim berkenaan boleh dirujuk di laman sesawang di www.moe.gov.my/takwim, manakala takwim bagi IPS pula adalah berdasarkan tarikh penggal persekolahan institusi masing-masing.
“Pembukaan ini melibatkan institusi pendidikan di seluruh negara termasuk di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB),” kata KPM.
KPM menegaskan pengoperasian semua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu serta Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi Dalam Norma Baharu.
KPM akan sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian institusi pendidikan bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan.
Bernama
You must be logged in to post a comment.