Sekolah akan dibuka semula?

Share

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) dalam fasa merangka prosedur operasi standard (SOP) pasca Covid-19 bagi sesi persekolahan negara apabila ia dibuka semula.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, SOP berkenaan akan memberi penekanan terhadap perubahan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran kepada 5.4 juta pelajar seluruh negara.

Menurutnya, ia cabaran besar kepada KPM untuk memastikan pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan agar keselamatan dan kesihatan tidak terjejas ketika di sekolah.

“Jika dulu sebuah kelas boleh memuatkan sehingga 35 pelajar namun selepas ini jumlah itu akan dikurangkan kepada 16 hingga 17 orang bagi menjaga penjarakan sosial.

“Ini adalah cabaran KPM bagaimana untuk menempatkan pelajar ini agar sesi pembelajaran dapat dilaksanakan tetapi dalam masa sama SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Soal Rakyat Wawancara Khas Bersama Menteri Kanan Pendidikan terbitan TV3, semalam.

Beliau berkata, guru juga perlu bersedia memastikan pelajar terus bermotivasi selepas tidak hadir ke sekolah lebih dua bulan lalu kerana pandemik Covid-19.

Katanya, peranan guru juga akan berbeza kerana perlu memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi pelajar apabila sekolah dibuka nanti.

“KPM akan membenarkan pelajar kelas peperiksaan Tingkatan Lima dan Enam untuk hadir ke sekolah terlebih dulu untuk memantau tahap kepatuhan serta keberkesanan SOP yang ditetapkan.

“Kementerian juga akan pastikan penerokaan ilmu itu akan terus berjalan dengan lancar walaupun dalam suasana pembelajaran yang berbeza,” katanya.

HM

Leave a Reply