Tiada peruntukan khusus untuk sekolah Cina persendirian, kata Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kerajaan tidak akan menyediakan peruntukan khusus untuk sekolah menengah Cina persendirian atau kolej universiti persendirian tahun depan.

Beliau mengesahkan perkara itu dalam jawapan bertulis Parlimen berhubung belanjawan tahunan, menjawab pertanyaan bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching.

Pada 15 Disember, Teo meminta kementerian menyatakan sama ada peruntukan disediakan untuk sekolah menengah Cina persendirian, dan tiga kolej universiti persendirian iaitu Kolej Universiti Southern, Kolej Universiti New Era dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chian.

Dalam Belanjawan 2019, Putrajaya memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk menambah baik sekolah Cina persendirian. Ia merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM652 juta bagi tujuan sama di 10 jenis sekolah lain.



Peruntukan itu, termasuk peruntukan RM6 juta untuk tiga kolej swasta, mengundang kritikan parti-parti pembangkang yang mempersoalkan kewajaran dan kesegeraan mendanai institusi terbabit.

Dalam pada itu, Zafrul berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggunakan formula baharu untuk mengagihkan peruntukan mengikut jenis sekolah, dengan mengambil kira faktor bilangan sekolah dan keperluan.

Belanjawan 2021 bakal menyaksikan peruntukan sebanyak RM50.4 bilion untuk KPM, sementara Kementerian Pengajian Tinggi akan menerima sebanyak RM14.4 bilion. Sebanyak RM800 juta akan diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan penambaikan sekolah, tidak termasuk institusi swasta. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker